Sokong HCF perkasa bantuan mualaf

Idris bergambar bersama cenderamata yang diterima bersama Muhamad Fuad Yeoh (kanan) dan Muhammad Fakharuddin (kiri).
Idris bergambar bersama cenderamata yang diterima bersama Muhamad Fuad Yeoh (kanan) dan Muhammad Fakharuddin (kiri).
A
A
A

PUTRAJAYA - Sokongan pelbagai pihak kepada Hidayah Centre Foundation (HCF) amat penting dalam usaha memperkasakan bantuan kepada saudara baru atau mualaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, masyarakat perlu bekerjasama dan saling melengkapi dalam memperteguhkan perpaduan mereka bagi memastikan agama Islam didaulatkan dan menjadi ikutan kepada individu yang bukan Islam.

"Memupuk hubungan baik sesama masyarakat yang berbilang kaum, dan menguruskan salah tanggapan terhadap Islam adalah perlu, agar Islamphobia dapat dihindari.

"Selain itu, hubungan berlainan bangsa dan agama juga dapat diperkukuhkan.

"Ini selari dengan suasana Malaysia yang mempunyai perbagai bangsa dan agama yang hidup harmoni dan memahami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Sambutan Sedekad HCF di sebuah hotel pada Sabtu.

Di samping itu, Idris berkata, peranan dalam memperbetulkan salah faham terhadap Islam dan membantu golongan mualaf memahami asas-asas agama adalah tugas yang perlu digalas bersama oleh masyarakat Islam.

Justeru itu, menurutnya, usaha murni HCF dalam perkara tersebut wajar disambut baik oleh semua pihak supaya matlamat keharmonian negara dapat dicapai.

"Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada institusi agama, badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), artis, media dan masyarakat keseluruhannya yang menyokong serta membantu HCF dari pelbagai sudut terutamanya dalam aspek kewangan.

"Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada HCF atas pencapaian dan sambutan ulang tahun yang ke-10 tahun.

"Teruskan usaha dalam membantu golongan saudara baru, membangunkan komuniti mualaf serta menyebarkan mesej yang benar dan tepat kepada masyarakat Islam di seluruh dunia," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi HCF, Ir Dr Muhamad Fuad Yeoh Abdullah berkata, menjelang sedekad bersama HCF, pertubuhan itu diberi peluang untuk berkembang menjadi sebuah institusi yang dapat memain peranan serta memberi sumbangan kepada pembangunan ummah di negara ini.

"Sejak 10 tahun penubuhan HCF, usaha telah dilaksanakan dalam menyampaikan ajaran Islam kepada segenap lapisan masyarakat majmuk di Malaysia secara harmoni, memberi sokongan dan bimbingan dalam memperkasakan masyarakat baharu serta memperbetulkan salah faham terhadap Islam.

"HCF adalah sebuah NGO ummah dan adalah untuk ummah. Ia mengalukan penyertaan semua untuk beramal bersamanya," menurutnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif HCF, Muhammad Fakharuddin Abdul Kudos.