KDA FC merosot bukan sebab gaji

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

JUMLAH gaji pemain dan jurulatih dipercayai bukan punca kemerosotan prestasi pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Liga Super mahupun tersingkir dalam saingan Piala AFC 2022.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana gaji yang diterima jurulatih dan pemain import KDA FC lebih tinggi berbanding pasukan PSM Makassar yang menumpaskan KDA FC dalam saingan separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN.

Menurutnya, keadaan itu mungkin disebabkan strategi permainan yang tidak berkesan selain komitmen pemain yang perlu dipertingkatkan dalam setiap perlawanan.

"Pada aksi separuh akhir Zon Asia Tenggara Piala AFC 2022, KDA FC tunduk 1-2 di tangan PSM Makassar di Bali. Saya sempat menemui dan bertanyakan pengurusan pasukan tersebut mengenai gaji pemain dan jurulatihnya.

"PSM Makassar gunakan jurulatih dari Portugal dan bayar gaji sekitar AS$10,000 (RM44,445) manakala KDA FC bayar 'double' berbanding mereka untuk jurulatih kita, pemain import mereka pula paling tinggi dibayar AS$15,000 (RM66,668), kita paling tinggi lebih daripada itu.

"Sebab itu, saya tak fikir masalah bayaran gaji pemain dan jurulatih menjadi punca kemerosotan prestasi KDA FC, mungkin teknik dan strategi atau benda-benda baharu yang perlu dihasilkan," katanya, pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup sambutan Hari Belia Negara peringkat Negeri Kedah di sini, pada Sabtu.

Selain tersingkir dari saingan Piala AFC, pasukan Kedah turut gagal mempertahankan Piala FA yang dimenangi pada 2019.

Malah, KDA FC kini berada di tangga ketujuh saingan Liga Super, ketinggalan 21 mata berbanding pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT).

Muhammad Sanusi berkata, sebagai pemegang saham dalam KDA FC, KFA sudah mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan pasukan berhubung prestasi tidak menentu ketika ini dan sudah dimaklumkan tindakan yang akan diambil bagi memulihkan pasukan.

"Saya dengar rintihan daripada penyokong, peminat agak kecewa, saya sendiri pun rasa begitu, tapi seboleh-bolehnya berilah peluang kepada pasukan untuk memperbaiki diri hasil daripada tindakan yang telah dilakukan KDA FC," katanya.

Mengulas mengenai kedudukan jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak, Muhammad Sanusi tegaskan, perkara itu sudah dibincangkan bersama pengurusan pasukan namun keputusan belum dimuktamadkan.

"Kita sedang bincang, oleh kerana kita dah swastakan, kita pegang saham saja, sebagai pemegang saham pun kita berasa gusar. Suara kita pun perlu diberi perhatian, ada juga kita beri sumbangan-sumbangan untuk bayaran.

"Ini kerana pasukan selain daripada pasukan negeri selatan itu, semua pasukan negeri lain masih perlu kepada sumbangan Persatuan Bola Sepak negeri masing-masing selain kerajaan negeri, bukan Kedah saja," katanya.