PRU15: Tak boleh tukar semua, orang lama masih diperlukan

Johan
Johan
A
A
A

KAJANG - Khidmat orang lama masih diperlukan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi berkongsi pengalaman dan seimbangkan pentadbiran.

Ketua UMNO Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan cadangan Pemuda Pas Selangor yang mahu 50 peratus calon muda diletakkan di Selangor pada PRU15.

Beliau berkata, usul Pemuda Pas itu adalah permintaan biasa bagi menyuarakan pandangan orang muda.

"Pemuda UMNO juga macam itu, ada yang minta 30 peratus (kuota). Kalau 30 peratus pemuda minta, andai kata wanita pun minta 30 peratus, puteri pun sama, yang tinggal hanya 10 peratus.

"Jadi apa pun pertimbangan, kita serah kepada pucuk pimpinan tentukan," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Klinik Kesihatan Semenyih henti operasi pada Sabtu.

Pada laporan Sinar Harian 8 Ogos lalu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar mengusulkan supaya 50 peratus calon muda diletakkan di Selangor.

Ia susulan rakyat lebih mudah menerima calon muda dan wajah baharu yang dilihat lebih bertenaga dalam melaksanakan tugas wakil rakyat sebagaimana keputusan siri-siri PRK (Pilihan Raya Kecil) sebelum ini.

Johan berkata, UMNO sebelum ini telah mengorak langkah memberi peluang anak muda meneraju pimpinan seperti dilakukan di Johor.

Artikel Berkaitan:

"Mandat Menteri Besar Johor yang sebelum ini dipimpin Datuk Seri Hasni Mohammad diberikan kepada anak muda, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"Ini membuktikan UMNO bukan cakap mahukan perubahan tetapi kita telah laksanakan," katanya.

Bagaimanapun katanya, perlu campur tangan orang pengalaman dalam meneraju pentadbiran bagi mengelak berlaku kegagalan seperti yang berlaku ketika Pakatan Harapan (PH) memimpin pusat selama 22 bulan.

"Apa-apa perlu campur dengan yang berpengalaman, jika tidak jadi seperti zaman pertukaran PH.

"PH berjanji macam-macam seperti mansuh Tol Simpang Renggam dan beri pendidikan percuma tetapi lepas memerintah mereka tak boleh hendak laksanakan.

"Kalau ditukar semua, orang tak ada pengalaman masuk, boleh ke mereka buat (tadbir dengan baik)? Pada saya kena seimbang antara calon berpengalaman dengan muka baharu. Muka baharu perlu banyak belajar lagi," katanya.