Enam pasukan terkemuka sertai Piala Sultan Azlan Shah

Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah akan berlangsung mulai 1 hingga 10 November depan

Subahan (depan, tiga dari kanan) ketika sidang akhbar kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, di Ipoh pada Sabtu.
Subahan (depan, tiga dari kanan) ketika sidang akhbar kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, di Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

ENAM pasukan terkemuka dunia mengesahkan tempat menyertai kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh yang akan berlangsung pada 1 hingga 10 November depan.

Pasukan-pasukan tersebut ialah Korea Selatan, Afrika Selatan, Kanada, Jepun, Pakistan dan Malaysia selaku tuan rumah.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, kejohanan kali ini lebih unik dengan melibatkan lebih banyak pasukan Asia selain pasukan-pasukan utama dunia.

Jelasnya, kejohanan Piala Sultan Azlan Shah itu akan menjadi pentas untuk pasukan kebangsaan sebelum ke kejohanan Asia nanti.

"Kita berbangga setelah sekian lama menanti, kejohanan Piala Sultan Azlan Shah ini akan berlangsung pada tahun ini.

"Kejohanan kali ini unik sedikit kerana kita nak tumpu persediaan pasukan untuk Sukan Asia," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pada Sabtu.

Subahan berkata, pihaknya meletakkan harapan tinggi kepada pasukan kebangsaan untuk meningkatkan ranking negara.

Menurutnya, pada kejohanan berkenaan, pasukan negara dijangka mampu melonjak ke tempat kelapan dunia berbanding ranking ke-10 ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Jurulatih Pasukan Hoki Kebangsaan, Arul Selvaraj berkata, kejohanan tersebut akan menampilkan barisan terkuat negara dengan gabungan beberapa pemain muda berpotensi.

Menurutnya, seramai 27 pemain akan merebut tempat terbaik mereka sebelum menyertai kejohanan Asia dan dunia.

"Pentas Piala Sultan Azlan Shah ini akan digunakan sebagai persediaan ke Sukan Asia. Sebab itu kejohanan ini lebih banyak pasukan Asia ditampilkan.

"Selepas ini pula, kita akan ke Eropah mengikuti beberapa kejohanan sebelum ke peringkat dunia tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata, pasukannya meletakkan sasaran untuk memenangi piala itu.

Katanya, sokongan peminat dan penyokong sangat ditagih dalam memastikan pasukan negara sentiasa bersemangat sepanjang pertandingan di Ipoh nanti.