Kerusi DUN: ADUN Sabak, Meru serah kepada pucuk pimpinan PKR

Dari kiri : Ahmad Mustain dan Mohd Fakhrurazi
Dari kiri : Ahmad Mustain dan Mohd Fakhrurazi
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman dan ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar bersetuju dengan keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memulangkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

Ahmad Mustain bagaimanapun berkata, ia terpulang kepada pucuk pimpinan untuk beliau kembali sebagai calon atau sebaliknya.

"Saya menyokong sepenuhnya (untuk) pulangkan DUN Sabak kepada Amanah.

"Tentang penyertaan saya dalam PRU15, saya serahkan sepenuhnya pada parti sama ada saya bertanding atau tidak. Buat masa ini, saya kekal dalam PKR," katanya pada Sabtu.

Turut senada dengan beliau ialah ADUN Meru, Mohd Fakhrurazi yang mengakui isu pemulangan kerusi tersebut boleh berubah pada saat akhir mengikut keadaan.

Beliau berkata, perkara tersebut juga tidak pernah dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan parti kerana ia bukan satu keutamaan.

"Bagi saya bukan isu siapa (parti yang dapat) kerusi itu kerana kita tidak mahu jadikan perkara itu semakin rumit. Sekarang ini yang lebih penting, kita nak berkhidmat kepada rakyat.

"Saya lebih kepada nak berkhidmat kepada rakyat, jadi kalau PKR merasakan saya perlu (kekal) di situ, saya akan terus di situ. Saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk tentukan keberadaan saya," katanya.

Media pada Jumaat melaporkan PKR akan memulangkan dua kerusi iaitu DUN Meru dan Sabak akan dipulangkan kepada Amanah.

Artikel Berkaitan:


Menurut laporan sebuah portal berita, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Hee Loy Sian berkata, walaupun ADUN Meru dan Sabak menyertai PKR, tetapi dua kerusi itu adalah milik Amanah untuk ditandingkan.