[VIDEO] BNS tunjuk bukti kapal wujud, lima LCS dalam pembinaan

Media dibawa meninjau perkembangan pembinaan LCS 1.
Media dibawa meninjau perkembangan pembinaan LCS 1.
A
A
A

LUMUT - Boustead Naval Shipyard (BNS) pada Sabtu menunjukkan lima kapal tempur pesisir (LCS) yang kini dalam pembinaan dengan kapal pertama telah siap 60 peratus.

Menerusi satu lawatan bersama pengamal media, Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Ir Azhar Jumaat berkata, kerja pembinaan ke atas kelima-lima LCS yang ditempatkan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut itu masih berjalan.

Keadaan bahagian dalam LCS 1 yang telah mencapai pembinaan 60 peratus.
Keadaan bahagian dalam LCS 1 yang telah mencapai pembinaan 60 peratus.

Menurutnya, kapal pertama telah menunjukkan perkembangan sehingga 60 peratus, kapal kedua (LCS 2) mencapai 48 peratus, LCS 3 (43 peratus), LCS 4 (36 peratus) dan LCS 5 (22 peratus).

"Lima kapal yang dalam pembinaan dengan pelbagai peringkat untuk disiapkan ini menandakan RM6 bilion yang dibelanjakan oleh kerajaan itu telah dibuktikan.

"Kapal pertama dengan pembinaan siap 60 peratus ini juga telah kami bentangkan kepada kabinet.

"Kami telah menetapkan landasan dan tahap keupayaan, jadi tolong beri kami peluang dan ruang untuk menunjukkan realitinya," katanya dalam sesi taklimat dan lawatan itu kepada 48 pengamal media yang hadir.

Azhar ketika menyampaikan taklimat kepada pengamal media yang hadir.
Azhar ketika menyampaikan taklimat kepada pengamal media yang hadir.

Dalam lawatan sekitar dua jam itu, media dibawa melihat sendiri perkembangan pembinaan LCS pertama dan meninjau gudang simpanan kapal BNS yang menempatkan perkakasan berkaitan projek LCS.

Azhar berkata, dengan kewujudan lima LCS itu diharap dapat memberi penjelasan sebenar kepada umum bahawa projek berkenaan bukanlah bersifat halimunan sepertimana disifatkan sesetengah pihak.

Katanya, BNS tidak akan sesekali mengelirukan Institusi Diraja dengan sesuatu pembinaan kapal yang tidak wujud.

"Ramai buat dakwaan (LCS) halimun, kapal dibuat daripada kayu malah Sultan Perak dikelirukan. Semua dakwaan ini tidak benar.

"Ini bukan kapal halimun, tetapi kapal metal sebenar bukan daripada kayu. Lebih penting ini bukan replika, ini kapal sebenar," katanya.

Keadaan bahagian dalam LCS 1 yang telah mencapai pembinaan 60 peratus.
Keadaan bahagian dalam LCS 1 yang telah mencapai pembinaan 60 peratus.

Projek LCS mula mencuri tumpuan apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) mendedahkan bahawa kira-kira RM6 bilion telah dibelanjakan, namun tidak ada satu kapal pun yang telah disiapkan.