Dewan Perwakilan AS lulus Akta Pengurangan Inflasi

Joe Biden - Foto fail Reuters
Joe Biden - Foto fail Reuters
A
A
A

HOUSTON - Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat meluluskan Akta Pengurangan Inflasi dengan undian yang tipis.

Undang-undang itu diluluskan selepas memperoleh 220 undi menyokong manakala 207 lagi membantah, sekali gus memberi kemenangan besar kepada Presiden Joe Biden dan parti Demokrat menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November.

"Ini kemenangan yang memberangsangkan bagi keluarga Amerika.

"Akta Pengurangan Inflasi ialah pakej penjimatan kos yang tepat pada masanya, memastikan kita terus maju dan planet kita dapat terus bertahan,” kata Speaker Dewan Perwakilan Nancy Pelosi.

Parti Demokrat memuji rang undang-undang itu yang bertujuan menangani pelbagai isu selain inflasi, termasuk mengambil tindakan agresif terhadap perubahan iklim, menurunkan kos perubatan dan ubat preskripsi serta mengurangkan defisit negara, lapor Agensi Anadolu.

Pelan itu termasuk perbelanjaan bernilai AS$369 bilion untuk perubahan iklim dan dasar tenaga yang diunjurkan bagi mengurangkan pelepasan karbon AS sebanyak kira-kira 40 peratus menjelang 2030.

Sebanyak AS$64 bilion turut diperuntukkan bagi mengurangkan kos insurans kesihatan dengan nilai perlindungan premium yang lebih rendah di bawah Akta Penjagaan Mampu Milik, memberi penjimatan kepada 13 juta keluarga secara purata AS$800 setahun.

Rang undang-undang itu juga akan mengehadkan kos ubat-ubatan pada kadar AS$2,000 dan membenarkan kerajaan persekutuan merundingkan harga yang lebih rendah untuk ubat preskripsi.

Artikel Berkaitan:

Pembiayaannya ialah menerusi cukai korporat sebanyak 15 peratus ke atas syarikat-syarikat mewah.

Pelan itu juga membelanjakan AS$80 bilion untuk meningkatkan penguatkuasaan dan pematuhan Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri dan dijangka menghasilkan pendapatan AS$124 bilion.

Langkah itu dilihat sebagai usaha untuk mengurangkan defisit sebanyak AS$300 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan jumlah peruntukan rang undang-undang itu dianggarkan menaikkan AS$737 bilion, serta mengurangkan keseluruhan defisit hampir AS$2 trilion dalam dua dekad akan datang.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan undian tipis selepas Naib Presiden, Kamala Harris menjadi penentu ekoran keputusan 50-50 di Senat.

Biden akan menandatangani akta berkenaan sebelum undang-undang itu dikuatkuasakan. - Bernama