Naik taraf Masjid Ar-Rahmah untuk keselesaan jemaah

Masjid Ar-Rahmah Mukim Pangkal Kalong, Ketereh perlukan dana segera untuk pembelian tanah bagi projek naik taraf.
Masjid Ar-Rahmah Mukim Pangkal Kalong, Ketereh perlukan dana segera untuk pembelian tanah bagi projek naik taraf.
A
A
A

KOTA BHARU - Usaha menaik taraf Masjid Ar-Rahmah Mukim Pangkal Kalong, Ketereh, di sini, dijangka dapat memberi keselesaan kepada lebih 600 jemaah dan dana berjumlah RM290,000 diperlukan segera bagi pembelian tanah.

Imam satu masjid itu, Abdul Karim Mashor berkata, perancangan untuk projek naik taraf masjid berkenaan akan dilakukan di atas tanah seluas 0.3 hektar bersebelahan tapak asal masjid.

Menurut beliau, dana masih belum mencukupi dan perlu dikumpulkan menerusi sumbangan pelbagai pihak.

“Jemaah setempat semakin meningkat daripada 200 sebelum ini kepada 600 dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini selepas pertambahan taman perumahan baharu di kawasan ini.

“Sehubungan itu, masjid berusia hampir 40 tahun perlu dinaik taraf seiring dengan pertambahan jemaah supaya mempunyai ruang solat lebih selesa, tandas baharu dan tempat berwuduk lebih elok untuk beribadat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, pentadbiran masjid memperkenalkan sistem wakaf iaitu RM50 bagi satu lot tanah dan orang ramai berpeluang berwakaf selain mendapat pahala dalam membantu masjid membeli sebidang tanah berkenaan.

“Setakat Khamis, jumlah dana terkumpul ialah RM199,258.50 dan pembelian tanah perlu disegerakan.

“Mengikut perancangan hanya tinggal dua bulan sahaja lagi tempoh persetujuan dengan pemilik tanah untuk kami membeli tanah tersebut. Kemudian barulah kita boleh mulakan kerja naik taraf masjid berkenaan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh salurkan ke akaun Masjid Ar-Rahmah 03030000993715 Bank Muamalat atau hubungi talian 011-2638 6886 untuk pertanyaan lanjut.