Fokus mental pemain Selangor FC

Mohd Nidzam
Mohd Nidzam
A
A
A

MENTAL para pemain Selangor FC menjadi fokus utama pengendali sementara The Red Giants, Mohd Nidzam Jamil selepas dilantik mengendalikan kelab berprofil tinggi Liga Malaysia tersebut pada pertengahan musim.

Malah menurut bekas pengendali Felda United itu mengakui cukup berbesar hati apatah lagi melibatkan pasukan Selangor yang cukup sinonim dengan dirinya.

“Apabila kelab memilih saya untuk menyambung tugas ini, saya berlapang dada sebab ini adalah Selangor dan mesti tiada apa yang lebih baik daripada hanya memikirkan kelab ini sendiri.

“Saya percaya daripada sudut emosi sekarang adalah sangat penting dan saya suka dengan kepercayaan yang diberi oleh pemain dengan situasi sekarang.

“Kami dekat sini percaya antara satu sama lain dengan proses yang sedang berlaku sebab bertukar jurulatih bukan senang dan bukan senang untuk saya juga sebab Michael Feichteinbeiner adalah bos saya.

“Tetapi kita dalam satu kapal yang besar kena teruskan pelayaran ini sampai ke destinasi dan lihat sama ada berjaya atau tidak, dan kami lakukan ini untuk penyokong, sepenuhnya untuk penyokong Selangor,” ujarnya.

Ujian pertama Nidzam selepas ini adalah menyediakan pasukan bagi berdepan Terengganu FC di Stadium Bandaraya Petaling Jaya pada Rabu.

Nidzam mengakui teruja dengan pertembungan ini memandangkan aksi pertama Nafuzi ketika dilantik pengendali sementara Terengganu juga adalah sewaktu menentang Felda United pada musim 2019.

Untuk rekod, misi tiga mata cukup penting apatah lagi Selangor masih belum berjaya menewaskan Terengganu sejak Mac 2019.

“Saya tidak mahu cakap misi nak balas dendam ke apa, tetapi kita ada beberapa hari lagi untuk berlatih jadi kita tengok macam mana hasilnya.

“Cuma saja saya nak kongsikan situasi kelakar sebenarnya untuk saya sebab kebetulan perlawanan pertama Nafuzi sebagai jurulatih interim adalah menentang saya ketika di Felda United.

“Dan sekarang saya pula sebagai jurulatih interim akan lawan beliau, tetapi Nafuzi adalah kawan baik saya jadi rasa bagus sebenarnya untuk kami,” ujarnya.

Unttuk rekod, Selangor ketika ini di tangga kelapan liga selepas mencatat 16 mata dan telah meraih sebanyak empat kemenangan.