Covid-19: Hospital sementara kedua Sanya Hainan mula beroperasi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BEIJING - Hospital sementara kedua Sanya di daerah Haitangwan yang berkeluasan lebih 21, 000 ribu meter persegi dan turut menempatkan 2,000 katil telah memulakan operasinya malam Khamis.

Lebih 600 pekerja dari Biro Kejuruteraan Ketiga Pembinaan China yang pernah terlibat dalam pembinaan Hospital Huoshenshan di Wuhan pada 2020 turut menyertai projek membina hospital sementara itu.

Hospital itu turut dilengkapi 14 ruang kerja untuk doktor dan jururawat, bilik rawatan, bilik rawatan kecemasan dan bilik sokongan lain.

Selain itu, di sebelah pintu masuk di bahagian barat hospital berkenaan menempatkan kawasan yang terdedah dengan pencemaran seperti kabin pesakit, tempat pemprosesan air kumbahan, penyimpanan bahan tercemar sementara, serta bahagian peralatan perubatan mudah alih CT dan PCR.

Sementara di bahagian barat timur pula ialah kawasan bersih termasuk kawasan rehat untuk kakitangan perubatan, pejabat, gudang bahan dan pintu keluar masuk untuk petugas.

Hospital itu turut dilengkapi dengan pintu masuk khusus untuk pesakit, pelepasan dan pemindahan pesakit selain pintu khas untuk mengangkut bahan tercemar.

Bilik air yang lengkap dengan pancuran mandian turut disediakan selain kemudahan kediaman.

Bagi memastikan keselamatan pekerja dan pesakit terdapat pintu masuk khas untuk barangan selain pintu masuk kakitangan perubatan yang disambungkan ke kawasan rehat petugas.

Kesemua pintu keluar masuk dibuat secara berasingan dan penghadang turut dipasang antara kawasan tercemar dan bersih.

Operasi hospital itu akan meningkatkan keupayaan kecemasan menangani wabak sekali gus menyediakan jaminan bagi pencegahan dan kawalan wabak serta rawatan kepada pesakit. - Bernama