Kastam rampas 66,000 tin arak tidak bercukai di Klang

Fazilah (tengah) menunjukkan minuman keras yang dirampas.
Fazilah (tengah) menunjukkan minuman keras yang dirampas.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya merampas 66,000 tin minuman keras bertanda duti tidak berbayar (MDNP) dan tidak bercukai dalam serbuan ke atas sebuah gudang simpanan di Jalan Tengah, Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang pada 2 Ogos lalu.

MTT (Menanggung Tugas-Tugas) Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Fazilah Ariff berkata, semasa serbuan, anggota sindiket bertempiaran lari meninggalkan kesemua minuman keras berkenaan yang dianggarkan bernilai RM181,595 dengan jumlah duti dan cukai sebanyak RM683,193.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai mengedar arak import tidak bercukai yang dibawa masuk dari India dan Belanda serta minuman keras buatan tempatan bertanda MNDP yang jualannya hanya dibenarkan di tempat diwartakan sebagai bebas cukai.

"Pasukan serbuan menemui sejumlah bir pelbagai jenama yang dimuatkan dalam sebuah lori 'bonded' 12.19 meter, dua buah lori tiga tan, sebuah lori satu tan dan sebuah van.

"Ketika serbuan dilakukan, bir tersebut sedang dalam proses pemindahan dari lori 'bonded' ke dalam lori yang lebih kecil dan juga van untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Dengkil di sini pada Jumaat.

Fazilah berkata, nilai kenderaan yang dirampas dianggarkan sebanyak RM385,000 dan nilai keseluruhan termasuk rampasan minuman keras dianggarkan berjumlah RM1.24 juta.

Katanya, tiada tangkapan dilakukan berikutan kesemua ahli sindiket bertindak melarikan diri sejurus menyedari kehadiran pasukan serbuan di premis berkenaan.

"Kesemua bir dan juga kenderaan yang ditemui telah disita dan dibawa pulang ke Pejabat Jabatan Kastam di Dengkil untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kastam akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengesan pemilik premis dan kenderaan yang disita dalam usaha mengenal pasti pasti dalang di sebalik sindiket tersebut.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(a) Akta Eksais 1976 yang memperuntukkan hukuman denda berjumlah 10 kali ganda nilai barang rampasan.