Wujudkan bank makanan di setiap PPR

Bank makanan perlu diwujudkan di setiap PPR bagi memudahkan bantuan kepada masyarakat berbanding hanya bergantung pada kerajaan. -Foto hiasan 123RF
Bank makanan perlu diwujudkan di setiap PPR bagi memudahkan bantuan kepada masyarakat berbanding hanya bergantung pada kerajaan. -Foto hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Bank makanan perlu diwujudkan di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memudahkan bantuan kepada masyarakat berbanding hanya bergantung pada kerajaan.

Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata, inisiatif itu untuk meningkatkan daya tahan pengurusan dan perbelanjaan isi rumah terutama ketika inflasi.

Menurutnya, bank makanan tersebut perlu diuruskan oleh masyarakat sendiri.

"Ada sesetengah tu mungkin dia memerlukan barangan basah, ada yang perlukan barangan dalam bentuk tin (makan kering) dan sebagainya

"Jadi bank makanan ini mesti diuruskan oleh masyarakat itu sendiri dan bantuan disalurkan di situ.

"Mungkin ada badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh sumbangkan (ke bank makanan) dia tak perlu beri pada individu.

"Siapa yang memerlukan akan pergi ke bank makanan itu," katanya memetik laporan Astro Awani.

Jelas Madeline, penubuhan bank makanan setempat itu juga perlu bersistem dengan konsep ambil sebagai pinjaman.

"Apabila dia perlukan, dia pergi sendiri bermakna dia dalam keadaan terdesak.

"Perlu ada sistem apa yang dia pinjam (ambil)..contohnya ayam seekor dan sedikit sayur..Jadi nanti dia perlu bayar balik," katanya.

Astro Awani melaporkan Golongan berpendapatan rendah (B40) dan sebahagian yang berpendapatan sederhana (M40) terpaksa mengubah corak perbelanjaan harian mereka akibat peningkatan harga barangan masa kini.

Situasi tersebut menyebabkan kuasa beli isi rumah berkurang dan ia memberi kesan kepada masyarakat terutamanya golongan B40 dan M40.

Perkara itu antara dapatan yang dinyatakan melalui Laporan Meniti Titian Hidup: Memahami Impak Badai Inflasi yang diterbitkan pada Jumaat.

Laporan Meniti Titian Hidup: Memahami Impak Badai Inflasi merupakan dalam kalangan kelompok berpendapatan B40 dan M40 itu adalah hasil kerjasama strategik antara Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia, Astro Awani dan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) dalam membantu menambah baik instrumen dasar menangani kos sara hidup.

Cerapan data menerusi kaedah purposive sampling pada 23 dan 24 Julai lalu melibatkan 120 sampel dijalankan di 27 penempatan di Lembah Klang dengan 18 daripadanya adalah PPR.