Kemalangan maut: Polis tahan pemandu treler positif dadah

Keratan laporan Sinar Harian pada 12 Ogos 2022
Keratan laporan Sinar Harian pada 12 Ogos 2022
A
A
A

IPOH - Polis menahan seorang pemandu treler yang terlibat dalam satu kemalangan sehingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut di atas jambatan Sungai Batang Padang di Km 57 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Tapah, dekat sini pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 7.15 pagi semasa Shahriza Ishak, 39, yang beralamat di Jalan Chenderiang Lama sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sekolah berhampiran.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler berkenaan dipercayai bergeser dengan sebuah motosikal, mengakibatkan penunggangnya terjatuh atas jalan sebelum diseret treler, dan wanita itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepala.

"Pemandu treler yang berusia 36 tahun ditahan untuk siasatan selepas hasil saringan awal mendapati dia positif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Wan Azharuddin berkata, mayat wanita itu dihantar ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama