MIC belum bincang permohonan PBM sertai BN

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - MIC masih belum membuat perbincangan mengenai permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai komponen Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, partinya juga masih belum melihat isi kandungan permohonan penyertaan tersebut.

Ahli Parlimen Tapah itu bagaimanapun berkata, keputusan mengenai isu itu diserahkan kepada pucuk pimpinan partinya.

“Saya serah kepada pucuk pimpinan MIC untuk buat keputusan (sama ada menerima atau menolak permohonan PBM).

“Setakat ini tiada sebarang perbincangan di peringkat MIC berhubung permohonan PBM untuk menyertai BN. Kami belum lihat lagi permohonan itu, bila tak lihat permohonan bagaimana nak bincang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran Pinjaman Latihan Kemahiran Islamik (PLK-i) dan Portal MyPerkasa TVET di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini memaklumkan keputusan permohonan PBM menyertai gabungan itu akan dibincangkan terlebih dulu dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadual diadakan pada minggu hadapan.

Katanya, keputusan mengenainya akan dibuat oleh pemimpin BN secara konsensus, bukan diputuskan oleh satu orang, ataupun satu parti.