Penyertaan PBM, UMNO Selangor serah kepada pimpinan tertinggi

Noh (depan, dua kiri) ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung PBPM di Bangunan Kumpulan Muara di sini pada Selasa.
Noh (depan, dua kiri) ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung PBPM di Bangunan Kumpulan Muara di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Selangor menyerahkan keputusan permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang ingin menyertai Barisan Nasional (BN) kepada pimpinan tertinggi parti itu.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, keputusan sama ada menerima atau sebaliknya bukan di bawah kuasa beliau sebaliknya perlu diajukan kepada pimpinan tertinggi.

"Saya tidak boleh komen...itu kena tanya pimpinan di peringkat atas dan itu bukan di bawah kuasa saya," katanya yang juga merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) di Bangunan Kumpulan Muara di sini pada Selasa.

Minggu lalu, media melaporkan PBM sudah menghantar permohonan rasmi kepada BN untuk menyertai gabungan tersebut bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu disahkan bakal Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin yang memberitahu permohonan itu sudah dibuat sejak tiga minggu sebelum itu.

Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini masih tiada sebarang maklum balas diberikan oleh BN berhubung status sama ada menerima PBM atau sebaliknya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut memaklumkan belum menerima permohonan rasmi daripada PBM, bagaimanapun terbuka untuk menerima kemasukan parti berkenaan bagi menyertai gabungan itu.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang itu telah mengumumkan langkah keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai PBM, tetapi kekal menyokong kerajaan sedia ada dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.