UMNO Ampang tolak PBM sertai BN

Gambar tular poster BN Ampang menolak Zuraida ingin menyertai parti tersebut di Ampang.
Gambar tular poster BN Ampang menolak Zuraida ingin menyertai parti tersebut di Ampang.
A
A
A

AMPANG - UMNO Bahagian Ampang tetap dengan pendirian untuk menolak permohonan bakal Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin yang ingin menyertai Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ampang merangkap Pemangku Ketua UMNO Bahagian Ampang, Mohamad Nadzim Ibrahim berkata, penolakan tersebut dibuat kerana mereka tidak mahu ahli parti yang tidak mempunyai pendirian tetap dalam hala tuju politik.

Mohamad Nadzim
Mohamad Nadzim

Selain itu, Mohamad Nadzim berkata, tiada jaminan Zuraida akan kekal bersama BN seandainya parti tersebut tewas dalam PRU15, lantas wujud kemungkinan beliau akan melompat ke parti lain.

"Kami sudah bermesyuarat dan jawatan kuasa kami telah berikan pandangan masing-masing dan kami tolak (PBM).

"Semasa dia (Zuraida) dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), apa sahaja dia tidak cakap tentang UMNO secara khusus atau umumnya, apa juga dia tidak pernah kutuk.

"Kami juga tidak boleh terima ahli parti yang melompat dari satu parti ke parti lain kerana kalau dia menang bertanding dan dia melompat (ke parti lain), dia telah mengkhianati undi rakyat.

"Kami di BN Ampang tidak boleh terima orang yang tiada pendirian," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, walaupun Mohamad Nadzim masih belum berhubung dengan UMNO di peringkat pusat berkenaan perkara tersebut namun pihaknya tetap dengan pendirian menolak PBM.

"Kami di BN Ampang tidak boleh terima orang yang tiada pendirian"

Bagaimanapun katanya, jika pihak tersebut ingin membuat sebarang keputusan sama ada menerima atau menolak PBM menyertai BN di Ampang, beliau akan dihubungi terlebih dahulu untuk perbincangan.

"Jelas di peringkat kami bahawa kami menolak, dan saya rasa tidak perlu untuk kami berhubung dengan pihak atasan.

"Cuma kalau pihak atasan buat keputusan (terima PBM), kita akan lihat dulu bagaimana," katanya.

Media pada Rabu melaporkan PBM menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BN bagi menyertai gabungan itu dalam menghadapi PRU15, tiga minggu lalu.

Zuraida bagaimanapun berkata, setakat ini BN masih belum menjawab permohonan tersebut.