Pemain bukan pilihan singkir Swiatek di Toronto

Beatriz Haddad Maia - Foto AP
Beatriz Haddad Maia - Foto AP
A
A
A

PEMAIN bukan pilihan, Beatriz Haddad Maia dari Brazil membuat kejutan besar pada Kejohanan Tenis Terbuka Bank Nasional (Masters WTA) di Toronto apabila mara ke suku akhir setelah menewaskan pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek, 6-4, 3-6, 7-5 di pusingan 16 pada Jumaat.

Menurut Beatriz, dia sememangnya tidak menjangkakan kemenangan tersebut dan hanya beraksi seperti biasa apabila berdepan Swiatek.

Bagaimanapun katanya, setelah mencatatkan kemenangan di set pertama, dia mula yakin untuk memenangi perlawanan berkenaan berdasarkan kepada corak permainan yang dipamerkan pemain berusia 21 tahun itu.

“Bagi saya kemenangan ini merupakan satu detik yang istimewa dan saya sungguh gembira serta berbangga dengan pencapaian yang saya lakukan ini.

“Bukan mudah sebenarnya untuk menewaskan pemain nombor satu dunia di kejohanan berprestij seperti ini, tetapi saya berjaya melakukannya.

“Ia memang satu kemenangan yang menakjubkan!” katanya.

Sementara itu, Beatriz menegaskan dia tidak mahu memikirkan tentang lawannya pada suku akhir nanti.

Katanya, jika terlalu memikirkan mengenai perkara itu, dia akan berasa tertekan dan dikhuatiri bakal memberikan kesan kepada persembahannya kelak.

“Saya tidak mahu memikirkan mengenai suku akhir dan siapa yang akan saya temui nanti kerana apa yang penting ketika ini adalah untuk saya bersedia bagi mengharungi aksi suku akhir itu nanti,” katanya.