Padah simpan minyak masak melebihi had

Pegawai KPDNHEP membuat pemeriksaan dalam serbuan dilakukan di kawasan Industri Sinar Andalas, Seremban. - Foto ihsan KPDNHEP
Pegawai KPDNHEP membuat pemeriksaan dalam serbuan dilakukan di kawasan Industri Sinar Andalas, Seremban. - Foto ihsan KPDNHEP
A
A
A

SEREMBAN - Padah memiliki barang kawalan melebihi had ditetapkan, sebuah syarikat pembungkusan minyak masak peket bersubsidi di kawasan Industri Sinar Andalas di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan pada Khamis.

Dalam Ops ATM (Ayam, Telur dan Minyak Masak) jam 11.30 malam itu, dianggarkan sebanyak 60,000 kilogram minyak masak bernilai RM150,000 telah disita bagi tujuan siasatan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin berkata, ketika serbuan dijalankan didapati terdapat sebuah lori tangki yang mengandungi kira-kira 30,000 kilogram minyak masak sedang menunggu untuk dipindahkan ke dalam tangki simpanan di premis berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat stok simpanan minyak masak sebanyak 30,000 kilogram di dalam tangki di premis terbabit.

"Namun apabila semakan terhadap buku penyata stok bekalan minyak masak dilakukan, jumlah baki dalam simpanan yang dinyatakan hanya sebanyak 5,350 kilogram," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, syarikat terbabit disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu gagal menyelenggara buku penyata stok barang kawalan bersubsidi serta memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had kuantiti yang dibenarkan dalam lesen.

Ujarnya, siasatan secara menyeluruh akan dilakukan bagi mengesan sekiranya terdapat unsur-unsur penyelewengan di dalam rantaian pengedaran minyak masak peket satu kilogram daripada syarikat terbabit.

"Hasil serbuan ini, dianggarkan sebanyak 60,000 kilogram minyak masak telah disita untuk tujuan siasatan dengan nilai rampasan sebanyak RM150,000.

"Turut disita sebuah lori tangki yang berada di tempat kejadian dengan anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kes terbabit adalah RM400,000," katanya.

Jelas beliau, kejayaan kes itu adalah hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan oleh KPDNHEP Negeri Sembilan di bawah OPS ATM dan OPS Anti-Sorok bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan bersubsidi terutamanya minyak masak peket satu kilogram.

Abd Muis menasihatkan para peniaga supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP.

"Pengguna di Negeri Sembilan boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian melalui saluran aduan disediakan," katanya.