MGB Berhad peroleh kontrak RM172.3 juta

Tempahan pembinaan kukuh dengan RM2.21 bilion

TAN SRI LIM HOCK SAN
TAN SRI LIM HOCK SAN
A
A
A

SHAH ALAM – MGB Berhad (MGB), penyedia solusi perkhidmatan pembinaan dan pembangunan hartanah, hari ini mengumumkan bahawa anak syarikat subsidiari, MGB Construction & Engineering Sdn. Bhd. telah menerima kontrak bernilai RM172.3 juta daripada Kita Sejati Sdn. Bhd. Kontrak berkenaan merangkumi kerja pembinaan utama bagi dua pangsapuri 24 tingkat, dan sebuah bangunan lapan tingkat yang terdiri daripada kemudahan kawasan umum serta tempat letak kereta.

Kerja-kerja pembinaan projek tersebut terletak di Cybersouth, Sepang dan dijangka bermula pada 1 September depan bagi tempoh 15 bulan. Projek pembangunan itu merupakan sebahagian daripada pembangunan perbandaran KITA @ Cybersouth oleh LBS Bina Group Berhad.

No Image Caption

MGB dalam pengumuman penerimaan kontrak itu pada 25 Julai lalu, telah memperolehi kontrak berjumlah RM225.0 juta untuk membina antara lain, dua pangsapuri perkhidmatan komersial 29 tingkat di Taman Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di daerah Petaling.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, menerusi kontrak berkenaan, tempahan pembinaan berada dalam kedudukan pendapatan yang kukuh dengan RM2.21 bilion untuk tahun-tahun yang akan datang.

“Sehingga kini, MGB telah memperoleh kontrak bernilai hampir RM400 juta. Kami sangat berbesar hati kerana MGB dapat meneruskan projek pembinaan meskipun keadaan industri pembinaan yang tidak menentu.”

“Fokus utama kami pada masa hadapan adalah untuk memastikan projek-projek pembinaan kami dapat disiapkan mengikut perancangan tanpa menjejaskan kualiti yang telah ditetapkan. Penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) telah berjaya mengurangkan penggunaan tenaga buruh yang telah menjejaskan seluruh industri.

“Melihat dari sudut projek, MGB bersiap sedia untuk melancarkan lima lagi baki projek Rumah Selangorku Idaman MBI yang akan berlangsung sepanjang tahun ini dan tahun 2023,” ujarnya.