Naik taraf masjid tampung jemaah

Tanah yang diwakafkan untuk pembinaan masjid baharu bersebelahan Masjid Ar-Rahmah lama.
Tanah yang diwakafkan untuk pembinaan masjid baharu bersebelahan Masjid Ar-Rahmah lama.
A
A
A

KOTA BHARU - Jemaah Masjid Ar-Rahmah Mukim Pangkal Kalong yang semakin meningkat menyebabkan masjid itu kini tidak mampu lagi menampung jumlahnya.

Imam satu masjid itu, Abdul Karim Mashor berkata, justeru, pihak pengurusan sedang merancang menaik taraf dan menambah bangunan masjid bagi membolehkan lebih banyak kemudahan disediakan.

Menurut beliau, sebidang tanah bersebelahan masjid dicadang bagi tujuan pembangunan itu.

“Kami memperkenalkan sistem wakaf iaitu RM50 bagi satu lot tanah bagi membolehkan orang ramai berwakaf,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Abdul Karim memberitahu, usaha itu juga diharap dapat menarik lebih ramai jemaah di kawasan sekitar melakukan ibadah di Masjid Ar-Rahmah.

“Melalui cara ini orang ramai dapat mengumpul pahala selain membantu masjid membeli sebidang tanah seluas 0.306 hektar bernilai RM290,000.

“Kita berusaha mencari dana wakaf ini supaya pembangunan masjid dapat disegerakan,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh menyumbang melalui akaun Masjid Ar-Rahmah 03030000993715 (Bank Muamalat) atau hubungi talian 011-2638 6886 untuk sebarang pertanyaan.