Bangunan awam, sekolah lama perlu diselenggara: Annuar

Annuar Musa -Foto Bernama
Annuar Musa -Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Struktur bangunan awam termasuk sekolah yang lama perlu diselenggara bagi menjamin keselamatan terutama kepada pelajar, kata Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, kerja penyelenggaraan adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) yang boleh dijalankan menerusi pemeriksaan dan pengesahan.

"Bangunan lama yang berada di sekolah berusia berpuluh-puluh tahun perlu dilakukan audit keselamatan, kita perlu selenggara jangan tunggu berlaku peristiwa-peristiwa besar.

"Pihak pentadbiran sekolah kalau mendapati ada bangunan atau struktur lama yang disyaki tidak selamat mereka wajib melaporkan kepada pihak JKR kerana mereka akan lakukan pemeriksaan dan tentukan sama ada ia selamat digunakan atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan di Kampung Tasek Sri Kulim pada Khamis kepada empat pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor yang tercedera selepas tangki air sekolah mereka pecah baru-baru ini.

Dalam kejadian jaml 10 pagi Rabu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, memaklumkan sekumpulan pelajar dari SMK Melor cedera selepas tangki air pecah dan menimpa laluan siar kaki sekolah berkenaan.

Sementara itu, pelajar tingkatan dua yang tercedera Ilham Nor Mariam berkata, dia masih trauma untuk kembali ke sekolah selepas kejadian tangki air pecah itu.

"Sehingga kini saya masih diberi cuti rehat beberapa hari selepas menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana mengalami luka di kepala selain kaki terseliuh akibat terkena serpihan bumbung yang pecah," katanya. -Bernama