Parti liar: Datuk Seri antara 25 ditahan di Janda Baik

 25 individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Seri ditahan selepas terlibat dalam aktiviti parti liar di Janda Baik pada Khamis. - Foto ihsan PDRM
25 individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Seri ditahan selepas terlibat dalam aktiviti parti liar di Janda Baik pada Khamis. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

BENTONG - [DIKEMAS KINI] Seramai 25 individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Seri berusia 46 tahun ditahan selepas terlibat dalam aktiviti parti liar di sebuah banglo di Janda Baik, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong membuat serbuan di premis tersebut yang disewa kira-kira jam 1 pagi selepas mendapat maklumat orang awam.

Menurutnya, pihak polis telah menjumpai dan merampas dadah jenis ketamine seberat 2.18 gram dan pil ecstacy (1.43 gram) yang dianggarkan bernilai RM800 dalam serbuan tersebut.

"Seramai 15 lelaki dan 10 wanita terdiri 17 warga tempatan dan selebihnya warga asing ditahan.

"Kesemua tangkapan berusia dalam lingkungan 18 hingga 64 tahun dan hasil ujian saringan awal air kencing didapati positif methamphetamine," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, pihak polis sedang dalam siasatan untuk mengenal pasti penganjur parti tersebut.

Tambahnya, kesemua suspek direman selama empat hari bermula Khamis sehingga 14 Ogos ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama," jelasnya.

Sementara itu, Zaiham merakamkan penghargaan terima kasih kepada orang ramai khususnya penduduk Bentong yang telah menyalurkan maklumat.