Admiral Residences tawar penduduk internet percuma

Ketua Pegawai Eksekutif Tanjung Ratna Sdn Bhd, Datuk Julian Lau Joo Liang (kiri) bersama Ketua Perkhidmatan Rangkaian Maxis, Chew Choo Soon (kanan) pada majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara Tanjung Ratna Sdn Bhd dengan Maxis disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Mohammad Mentek (tengah). Foto ROSLI TALIB
Ketua Pegawai Eksekutif Tanjung Ratna Sdn Bhd, Datuk Julian Lau Joo Liang (kiri) bersama Ketua Perkhidmatan Rangkaian Maxis, Chew Choo Soon (kanan) pada majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara Tanjung Ratna Sdn Bhd dengan Maxis disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Mohammad Mentek (tengah). Foto ROSLI TALIB
A
A
A

SYARIKAT pemaju perumahan, Tanjung Ratna Sdn Bhd dan Maxis telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk penyediaan salinghubungan internet untuk projek pembangunan kondominium mewah, Admiral Residences di Kota Laksamana, Melaka.

Ketua Pegawai Operasi Tanjung Ratna Sdn Bhd, Allan Chee berkata, kemudahan perkhidmatan internet berkelajuan 1.5 gigabit sesaat (Gbps) daripada Maxis itu dapat dinikmati penduduk Admiral Residences secara percuma untuk tempoh lima tahun.

"Perjanjian ini juga akan menyaksikan Admiral Residences akan menyediakan salinghubungan jalur lebar gentian berkelajuan tinggi untuk digunakan oleh penduduk sebaik sahaja berpindah.

"Ia akan menjadi kondominium pertama di negara ini yang menawarkan perkhidmatan ini.

"Inisiatif Tanjung Ratna ini juga selaras dengan objektif Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) agar rakyat Malaysia dibekalkan dengan infrastruktur komunikasi yang komprehensif dan inklusif, serta ekonomi digital melalui pemerkasaan maklumat dan komunikasi di negara ini," katanya dalam ucapan sebelum majlis menandatangani MoU tersebut di sini pada Khamis.

Admiral Residences merupakan sebuah kondominium kediaman mewah yang menawarkan lebih 40 kemudahan dan perkhidmatan moden dengan harga mampu milik daripada RM347,000.

Kondominium itu adalah yang pertama dan satu-satunya dibangunkan di atas tanah kediaman seluas 4.85 hektar.

Ia juga terletak hanya dua kilometer dari pusat bandar Melaka dan pembangunan itu terdiri daripada empat blok kondominium 26 hingga 27 tingkat dengan tempat letak kereta empat tingkat untuk menempatkan 1,440 unit rumah.

Jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) projek ini adalah sekitar RM 530 juta dan kini hampir 90 peratus sudah terjual.

Projek fasa pertama dijadualkan siap menjelang suku keempat 2022.

Dalam pada itu, Ketua Segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Maxis, Kevin Lee menyifatkan kerjasama itu penting untuk gaya hidup digital penduduk di kondominium tersebut.

"Kami berbesar hati dilantik sebagai rakan kongsi salinghubungan Tanjung Ratna.

"Jalur lebar gentian berkelajuan tinggi penting kerana pengguna kini lebih bergantung kepada kesalinghubungan untuk gaya hidup digital mereka.

"Kami komited untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia melalui rangkaian menyeluruh kami," katanya.