Naib-naib presiden ketuai PKR negeri

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberikan keutamaan kepada timbalan presiden dan naib-naib presiden untuk dilantik sebagai pengerusi majlis pimpinan negeri sebagai usaha menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan tersebut sedikit berbeza dengan sebelum ini yang memberi kepercayaan kepada ketua-ketua Cabang untuk memilih pengerusi dalam kalangan mereka.

Menurutnya, keputusan yang dibuat itu juga mendapat sokongan sebulat suara daripada ketua-ketua cabang.

"Seperti mana yang sedia maklum, dalam menghadapi jentera pilihan raya ini, kita buat sedikit penyesuaian iaitu timbalan presiden dan naib-naib presiden ditugaskan untuk memimpin jentera parti di peringkat negeri ini.

"Berbeza daripada dulu di mana kita ambil kira pandangan cabang-cabang tetapi kali ini saya telah berikan pandangan kepada mereka, tumpuan kita adalah pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Perak di Pejabat PKR Perak di sini pada Khamis.

Sementara itu, pada sidang akhbar sama, Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang dilantik sebagai Pengerusi PKR Perak yang baharu.

Lih Kang merupakan Ahli Parlimen Tanjung Malim memenangi jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu baru-baru ini.

Pelantikan tersebut sekaligus menamatkan perkhidmatan Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye yang sebelum ini menjadi pengerusi sementara.

Selain Lih Kang seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengerusi PKR Selangor yang baharu manakala Timbalan Presiden, Rafizi Ramli pula diumumkan menjadi Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Lih Kang ketika ditemui selepas sidang akhbar itu berkata, barisan lengkap kepimpinan PKR Perak akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, kesemua pimpinan yang bakal dilantik termasuk mereka yang tewas pada pemilihan baru-baru ini.