Polis kesan dua suspek bersenjata parang

Tangkap layar memaparkan seorang lelaki bersenjatakan parang meluru masuk di sebuah rumah di Ipoh. - Foto ihsan pembaca
Tangkap layar memaparkan seorang lelaki bersenjatakan parang meluru masuk di sebuah rumah di Ipoh. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Polis giat mengesan dua lelaki bersenjatakan parang yang cuba menyamun sebuah rumah selepas satu rakaman video berkaitan kejadian itu tular di media sosial pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Taman Tasek Indra di sini sekitar jam 6.40 pagi pada Jumaat lalu.

"Pihak polis mengesan satu video tular yang memaparkan kejadian seorang lelaki cuba menyamun sebuah rumah telah mendapat perhatian umum.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan polis sedang berusaha mengesan suspek yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-2500019 bagi membantu siasatan.

Pada Khamis, tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 11 saat yang memaparkan seorang lelaki berlari masuk ke sebuah rumah sambil memegang sebilah parang.

Tindakan itu bagaimanapun berjaya dihalang penghuni rumah yang segera bertindak menutup pintu depan kediaman berkenaan.

Kejadian itu didakwa berlaku di Taman Kemiri, Sungai Siput, namun lokasi sebenar ialah di Taman Tasek Indra di sini.