PRU15: Gerakan Muda GTA sasar separuh kerusi Parlimen

Gerakan Muda

Abu Hafiz Salleh Hudin
Abu Hafiz Salleh Hudin
A
A
A

PUTRAJAYA - Gerakan Muda yang merupakan sayap Gerakan Tanah Air (GTA) bersedia mewarnai pentas politik negara dengan menyasarkan separuh daripada 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Pejuang Muda, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, bagaimanapun jumlah itu bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan gabungan GTA.

"Jika mengikut hasrat kami, (mahu) separuh atau lebih namun bergantung kepada musyawarah Gerakan Muda dan Majlis Presiden," katanya.

Menurutnya, Gerakan Muda yang terdiri daripada sayap-sayap parti dan badan bukan kerajaan (NGO) akan menjadi satu alternatif kepada golongan berusia dari 18 hingga 40 tahun.

"Gerakan Muda menawarkan calon profesional dan berdaya saing dalam PRU15," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di sini pada Khamis.

Minggu lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan gabungan GTA sebagai gagasan baharu berteraskan agenda Melayu dan Islam.

Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Penaja GTA turut mempertaruhkan calon GTA di 120 kerusi Parlimen di kawasan majoriti penduduk Melayu di Semenanjung Malaysia bagi menentang UMNO.

Sementara itu, dalam sidang akhbar sama, Ketua Pejuangnita Muda Malaysia, Dr Nurul Ashikin Mabahwi berkata, kekuatan empat sayap wanita GTA menjadi kelebihan kepada Gerakan Muda.

"Sayap gabungan ini mempunyai ramai pemimpin wanita yang boleh diketengahkan sebagai calon bagi mengakhiri ketandusan pemimpin wanita," katanya.