Lelaki disyaki tipu urusan beli kereta ditahan

Beh Eng Lai.
Beh Eng Lai.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes penipuan urusan pembelian kereta yang membabitkan kerugian sebanyak RM129,368.50.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di Jalan Kampung Baru, Sungai Buloh pada jam 8 malam Jumaat lalu.

"Setakat ini, kita telah menerima lapan laporan melibatkan modus operandi dan suspek yang sama," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Eng Lai berkata, pelbagai jenis kenderaan ditempah oleh mangsa yang bernilai antara RM89,000 sehingga RM140,000.

"Mangsa yang ditipu mengalami kerugian antara RM1,800 hingga RM70,000," katanya.

Beliau berkata, kes terbaharu, polis menerima laporan daripada seorang jurujual di sebuah syarikat penjualan kereta pada 3 Ogos lalu.

"Mangsa telah hadir ke pameran kereta serta berurusan dengan suspek untuk dokumentasi dan pembayaran awal tempahan.

"Hasil siasatan mendapati suspek akan meminta bayaran tempahan awal sebanyak RM1,000 dan mangsa akan menerima resit tempahan menggunakan resit syarikat," katanya.

Eng Lai berkata, mangsa kemudian diminta membuat bayaran susulan setelah dimaklumkan oleh suspek di mana kereta yang ditempah telah sampai.

"Kesemua pembayaran telah dimasukkan ke dalam dua akaun peribadi milik suspek.

"Namun apabila mangsa hadir ke syarikat untuk mengambil kereta, pihak pengurusan syarikat maklumkan tiada pembayaran diterima daripada suspek," katanya.

Eng Lai berkata, polis turut merampas kad pengeluaran tunai (ATM) dan telefon bimbit milik suspek.

"Semakan lanjut mendapati suspek ada tiga rekod jenayah melibatkan kes pecah amanah dan tipu," katanya.

Beliau berkata, suspek telah direman selama enam hari sehingga Khamis.

"Suspek telah dihantar ke daerah lain untuk siasatan berkaitan laporan penipuan yang sama.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222," katanya.