Hospital Sungai Buloh tarik balik larangan penghantaran makanan

Hospital Sungai Buloh menarik balik semua larangan menggunakan khidmat penghantaran makanan secara dalam talian membabitkan kakitangan dan pesakit di hospital itu berkuat kuasa serta-merta.
Hospital Sungai Buloh menarik balik semua larangan menggunakan khidmat penghantaran makanan secara dalam talian membabitkan kakitangan dan pesakit di hospital itu berkuat kuasa serta-merta.
A
A
A

SHAH ALAM - Hospital Sungai Buloh menarik balik semua larangan menggunakan khidmat penghantaran makanan secara dalam talian membabitkan kakitangan dan pesakit di hospital itu berkuat kuasa serta-merta.

Pengarahnya, Dr P Kuldip Kaur berkata, pihaknya menghargai segala maklum balas dikeluarkan mana-mana pihak susulan tular memo dalaman bertarikh 9 Ogos sejak Rabu.

"Terima kasih diucapkan atas segala maklum balas dan pandangan yang dikemukakan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook Hospital Sungai Buloh pada Khamis.

Menurut Dr Kuldip Kaur, Hospital Sungai Buloh kekal komited dan prihatin dengan keperluan, kebajikan dan kesejahteraan kakitangan serta pesakit di hospital berkenaan.

Sebelum ini tular memo Bahagian dan Pembangunan Hospital Sungai Buloh berhubung larangan menggunakan khidmat penghantaran makanan secara dalam talian kepada kakitangan dan pesakit di hospital itu.

Menerusi memo tular itu, keputusan berkenaan diputuskan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Hospital Sungai Buluh pada 26 Julai lalu

Memo itu memberitahu, ketetapan larangan itu dibuat antara lain berikutan terdapat laporan dan aduan peningkatan kuantiti sisa makanan dan sampah sarap yang tidak terurus serta gangguan makhluk perosak yang telah menjejaskan kebersihan dalam wad.

Dalam pada itu, memo itu juga mengingatkan kafeteria mempertingkatkan perkhidmatan serta penyediaan makanan kepada warga kerja dan orang awam dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan dan permintaan.