MDT perkasa program kesedaran banteras rasuah

Gerakan program di peringkat sekolah seterusnya komuniti di Tumpat

Che Din (depan, tengah) mengibarkan Jalur Gemilang selepas Program Kunjung Hormat #RasuahBusters pada Khamis.
Che Din (depan, tengah) mengibarkan Jalur Gemilang selepas Program Kunjung Hormat #RasuahBusters pada Khamis.
A
A
A

TUMPAT - Majlis Daerah Tumpat (MDT) menerusi Jawatan Kuasa Penerangan, Pelancongan dan Perpaduan Kaum di daerah itu akan memperkasa program kesedaran membanteras rasuah dari peringkat akar umbi.

Langkah diambil selepas inisiatif pasukan #RasuahBusters yang melakukan jelajah dalam usaha berkongsi mengenai isu integriti ketika Program Kunjung Hormat ke Majlis Daerah Tumpat pada Khamis.

Pengerusi Jawatan Kuasa Penerangan Pelancongan Perpaduan Kaum Majlis Daerah Tumpat, Che Din Mustapa.
Pengerusi Jawatan Kuasa Penerangan Pelancongan Perpaduan Kaum Majlis Daerah Tumpat, Che Din Mustapa.

Pengerusi Jawatan Kuasa Penerangan Pelancongan Perpaduan Kaum Majlis Daerah Tumpat, Che Din Mustapa berkata, masyarakat perlu didedahkan dengan ilmu pengetahuan berkaitan rasuah secara lebih meluas dari segi definisi rasuah itu sendiri bukan hanya sogokan melibatkan wang ringgit tetapi termasuk perlakuan 'favouritism' atau kronisme.

Katanya, (MDT) memberikan penanda cukup kuat bahawa mereka menyokong gerakan #RasuahBusters dalam membantu mengekang berlakunya unsur rasuah dalam pekerjaan dan kehidupan.

“Secara asasnya, pendidikan perlu bermula dari rumah dan kemudian di sekolah kerana pintu rasuah terbuka lebih-lebih lagi apabila tidak ada ilmu pengetahuan berkaitan, maka kita terdedah dengan cubaan-cubaan melakukan sogokan duit atau salah guna.

“Sebagai langkah awal, MDT akan cuba menyusun beberapa program kerana kita juga ada gerakan berkaitan integriti ke sekolah-sekolah melalui jawatankuasa ini bagi memberi kefahaman dan kesedaran mengenai rasuah,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin dan Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan.

Beliau berkata, program itu akan membabitkan pegawai, kakitangan, pelanggan-pelanggan di MDT seterusnya kepada komuniti di daerah tersebut.

“Dalam usaha menolak rasuah, perlu jadikan sebagai titik permulaan dengan sentiasa menyebut ‘saya menolak rasuah’ sebagai peringatan kepada diri sendiri seperti kita sentiasa membaca surah al-Fatihah di dalam solat.

“Kami tidak menyatakan bahawa wujud rasuah atau tidak pada peringkat ini tetapi yang pasti pihak kami akan cuba mencegah melalui peringatan, pendidikan dan kesedaran kepada umum sehingga rasuah dipandang jijik sekali gus terus ditolak dalam masyarakat,” katanya.

Sebelum itu, Che Din dan wakil daripada 30 agensi di Tumpat mendengar taklimat berkaitan objektif Rasuah Busters dan usaha yang dilakukan bagi membantu memerangi jenayah rasuah.

Antaranya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, Jabatan Perpaduan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imegresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pertanian dan Ahli Majlis.

Che Din (depan, tengah) mengibarkan Jalur Gemilang selepas Program Kunjung Hormat #RasuahBusters pada Khamis.

Che Din (kiri) menerima risalah #RasuahBusters yang disampaikan oleh Nurhayati (tengah).