Dagangan Bursa Malaysia terus meningkat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

DAGANGAN di Bursa Malaysia terus mempamerkan peningkatan sehingga sesi tengah hari dengan indeks penanda aras mengakhiri sesi dagangan awal melepasi paras psikologi 1,500, didorong oleh sentimen pasaran yang positif merentasi rantau ini.

Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 9.03 mata untuk mencatatkan paras 1,501.36 daripada 1,492.33 ketika ditutup Rabu.

Indeks penanda aras itu yang meningkat 5.48 mata pagi ini pada 1,497.81, kekal dalam zon positif serta berlegar antara 1,497.81 dan 1,504.38 di sepanjang sesi pagi hingga tengah hari.

Pergerakan harga di pasaran amat menggalakkan dengan kaunter untung mendahului kaunter rugi 517 berbalas 234, manakala 350 kaunter tidak berubah, 1,182 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.46 bilion unit bernilai RM934.13 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen positif daripada Wall Street yang meningkat selepas data inflasi Amerika Syarikat (AS) mencatatkan angka di bawah unjuran pasaran dijangka turut "melimpah" ke pasaran tempatan, terutamanya dalam sektor teknologi.

"Pelabur harus menjangkakan skala kenaikan kadar faedah yang lebih rendah pada masa hadapan daripada Rizab Persekutuan AS. Ini akan menyediakan ruang untuk merebut peluang yang baik, sekurang-kurangnya sehingga pengumuman data Indeks Harga Pengguna (IHP) seterusnya yang dijadualkan pada 13 September," kata firma pembrokeran itu dalam nota pada Khamis.

Data IHP AS yang mengukur inflasi merekodkan angka 8.5 peratus pada bulan Julai -- di bawah unjuran pasaran iaitu 8.7 peratus -- menunjukkan bahawa ekonomi negara itu pulih lebih cepat daripada jangkaan.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa -- Maybank meningkat empat sen kepada RM8.94. Public Bank naik dua sen untuk mencatatkan harga RM4.65, Petronas Chemicals dan CIMB untung tujuh sen, masing-masing kepada RM8.79 dan RM5.37, manakala IHH Healthcare menokok lima sen kepada RM6.47.

Bagi saham aktif, G3 Global, Fintec dan Metronic tidak berubah, masing-masing pada 3.5 sen, 1.0 sen dan 5.5 sen, SFP meningkat 12 sen kepada RM1.06 dan Sapura Energy naik setengah sen kepada 5.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lebih tinggi sebanyak 84.5 mata menjadi 10,645.24, Indeks FBMT 100 melonjak 80.97 mata kepada 10,395.13 manakala Indeks FBM Emas Syariah mengembang 87.39 mata kepada 10,756.68.

Dalam pada itu, FBM 70 mengukuh 173.52 mata kepada 12,725.62 dan FBM ACE pula meningkat 84.48 mata kepada 4,916.11.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 129.73 mata kepada 16,779.34, Indeks Tenaga meningkat 7.75 mata kepada 654.39, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.97 mata kepada 182.92 dan Indeks Perladangan memperoleh 7.25 mata kepada 7,131.12. - Bernama