[VIDEO] Skandal LCS: Amanah hantar memorandum kepada Agong tubuh RCI

Sani (dua dari kanan) ketika hadir menyerahkan memorandum di Istana Negara berhubung skandal LCS pada Khamis.
Sani (dua dari kanan) ketika hadir menyerahkan memorandum di Istana Negara berhubung skandal LCS pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Biro Mobilisasi Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan memorandum memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) menyiasat skandal pembelian kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pengarahnya, Sani Hamzan berkata, memorandum berkenaan telah diserahkan kepada Ketua Komunikasi Korporat Istana Negara, Datuk Muzli Mohd Zin pada pagi khamis.

Menurut beliau, pendedahan pembelian LCS oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) jelas menunjukkan kepincangan aset ketenteraan negara pada tahap rendah kerana kegagalan semua LCS dipersiapkan mengikut jadualnya.

"RCI ini bukan sahaja diperlukan untuk mengembalikan keyakinan warga TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi seluruh rakyat jelata yang bimbang dan resah akibat pendedahan projek ini," katanya pada sidang akhbar di hadapan pintu masuk Istana Negara pada Khamis.

Turut hadir menyerahkan memorandum berkenaan Timbalan Pengarah Mobilisasi Amanah, Rafizan Ali bersama setiausahanya, Farid Suhaimi.

"Walaupun LCS pertama belum siap sepenuhnya iaitu tidak sampai 44 peratus namun upacara penamaan dan pelancaran kapal itu telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 24 Ogos 2017 yang turut berkenan memberikan nama Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela," ujarnya.

Jelasnya, isu berkenaan bukan sahaja melibatkan kos besar tetapi telah memalukan dan mengugat kedaulatan negara.

"Mengambil kira Laporan PAC termasuklah beberapa surat daripada mantan Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar dan sebelum diteruskan beberapa syor-syor daripada kerajaan Persekutuan seperti pelan pemulihan projek LCS dan juga penubuhan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas adalah sewajarnya atas nasihat Yang di-Pertuan Agong agar segera ditubuhkan RCI supaya isu seperti itu tidak akan berulang lagi di masa hadapan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diketuai oleh Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan turut menyerahkan memorandum yang sama memohon agar Yang di-Pertuan Agong agar RCI menyiasat isu membabitkan kapal LCS berkenaan

Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.