RCI LCS perlu bebas ahli politik berkepentingan

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak supaya ahli Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) yang menyiasat skandal kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dianggotai oleh pakar kejuruteraan pembinaan kapal perang.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, RCI yang bakal dilantik kelak oleh Yang di-Pertuan Agong itu perlu bebas daripada ahli parti politik berkepentingan bagi memastikan segala dapatan serta hasil siasatan tidak berat sebelah selain dilihat berkecenderungan kepada mana-mana pihak.

"Pada masa sama, Pemuda UMNO juga menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera bertindak dan melaporkan hasil siasatan yang sudah dijalankan bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah, pecah amanah mahupun sebarang bentuk penyelewengan dibawa ke muka pengadilan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Khamis lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar sekitar RM6 bilion untuk projek kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Dalam pada itu Asyraf Wajdi turut menegaskan pendirian Pemuda UMNO agar kerajaan segera menubuhkan suruhanjaya itu bagi menyiasat secara menyeluruh mengenai isu kapal berkenaan.

"Mesyuarat Jawatankuasa Pemuda UMNO sebentar tadi sebulat suara menggesa dan mendesak kerajaan segera menubuhkan RCI bagi menyiasat secara bebas berkenaan kapal LCS," katanya.