Tunjuk bukti enam kapal dibina serentak di Lumut

No Image Caption
A
A
A

MERAK Jalanan tertarik dengan kenyataan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman pada malam Rabu mengenai kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang jadi topik hangat ketika ini.

Beliau mengesahkan pembinaan fizikal kapal itu memang sedang berlangsung dan kalau naik bot ke Pangkor pun boleh nampak ‘hull’ kapal-kapal tersebut yang sebahagian besarnya telah dibina.

Katanya lagi, pembinaan enam kapal itu perlu dibuat sekali harung, bukan bina satu per satu. Malah, Lumut Shipyard mempunyai kapasiti untuk bina enam kapal serentak.

Beliau memaklumkan sudah berkali-kali turun ke Lumut Shipyard dan melawat projek tersebut. Kini, perkembangan pembinaan untuk lima kapal pertama pada purata 55 peratus.

Jika benar kata-kata beliau, itu bermakna bentuk fizikal kesemua kapal berkenaan sudah wujud dan boleh dilihat dengan mata kasar manusia.

Justeru, tidak keterlaluan jika Merak Jalanan mencadangkan supaya beliau mempelawa pemimpin politik melihat sendiri proses pembinaan tersebut, dengan kebenaran Kementerian Pertahanan (Mindef).

Bukan apa, pemimpin politik adalah mata dan telinga kepada rakyat. Undang mereka bagi membuktikan bahawa kapal yang mencetuskan kontroversi itu bukan halimunan seperti didakwa.

Mengenai dakwaan penyelewengan dana perolehan projek melibatkan keseluruhan kos berjumlah RM9 bilion (termasuk RM6 bilion telah dibayar), Merak Jalanan yakin pihak berkuasa tidak akan berdiam diri.

Artikel Berkaitan:

Semua parti politik tidak kira kerajaan atau pembangkang telah menggesa penubuhan Suruhanjaya Bebas Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan tersebut. Rakyat juga berkehendak sedemikian.

Jika benar wujud penyelewengan atau unsur rasuah, heret segera individu berkenaan ke muka pengadilan dan usir dari Malaysia kerana dia adalah pengkhianat negara.