Penerima rasuah tidak sedar mereka adalah pengkhianat negara

Nik Saiful
Nik Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Kebanyakan penerima rasuah termasuk anggota penguatkuasa masih tidak memiliki kesedaran terhadap kesan perbuatan yang dilakukan mereka terhadap negara.

Peguam, Nik Saiful Adli Burhan berkata, malah sudah wujud satu ayat ‘standard’ khususnya dalam kalangan anggota penguatkuasa bagi menyokong tindakan tidak bertanggungjawab mereka untuk mengambil rasuah.

“Ayat standard penguatkuasa, ‘kalau saya tak ambil orang lain ambil juga’. Dia tidak ada kesedaran diri sendiri yang merasakan bahawa perbuatan dia ambil duit itu adalah perbuatan yang merosakkan sistem ekonomi negara.

“Ia juga menyebabkan stok barangan dalam negara terputus, bagi barangan yang keluar. Untuk barang yang masuk pula melibatkan dadah, pendatang asing dan juga isu juga isu kedaulatan negara.

“Penerima rasuah dalam kalangan penguatkuasa ni tidak pernah merasakan mereka ini merupakan pengkhianat kepada negara,” katanya ketika program Kompas Rasuah Busters ‘On The Go’ bertajuk Sempadan Bolos: Bila Nak Selesai? yang disiarkan di kesemua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Hadir sama pada program diacarakan Dinnie Asyraf Salim ialah Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Kelantan, Muhammad Nizam Ismail.

Dalam pada itu, Nik Saiful turut berpandangan bahawa hukuman bagi pesalah rasuah juga dilihat masih belum cukup menggerunkan untuk individu melakukan perbuatan tidak bermoral tu.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri: Dinnie, Nik Saiful dan Muhammad Nizam ketika program Kompas Rasuah Busters ‘On The Go’ bertajuk Sempadan Bolos: Bila Nak Selesai? pada Rabu.
Dari kiri: Dinnie, Nik Saiful dan Muhammad Nizam ketika program Kompas Rasuah Busters ‘On The Go’ bertajuk Sempadan Bolos: Bila Nak Selesai? pada Rabu.

Beliau berpandangan terdapat kelemahan perlu ditambah baik dalam isu denda dan hukuman di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan ia setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Justeru, itu, beliau berkata, selain penjara dan denda, hukuman sebat wajib juga perlu dikenakan kepada pesalah rasuah.

“Melihat kepada pengalaman lepas, penjenayah ini takut kepada sebat. Ada satu kes saya kendalikan penjenayah minta lebihkan waktu hukuman penjara asalkan dia tidak kena sebat.

“Saya tengok Akta SPRM ini tidak ada hukuman sebatan yang wajib sebagaimana Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk kesalahan menipu yang memperuntukkan wajib satu sebatan minimum,“ ujarnya.