Polis Marin gagalkan cubaan seludup masuk 61 PATI

Seramai 54 lelaki dan tujuh wanita ditahan polis kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Foto: Ihsan PDRM
Seramai 54 lelaki dan tujuh wanita ditahan polis kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Foto: Ihsan PDRM
A
A
A

LUMUT - Cubaan sebuah bot membawa 61 pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara ini gagal apabila berjaya dipintas Pasukan Polis Marin (PPM) di kedudukan 2.5 batu nautika dari Pulau Talang, Manjung di sini pada Rabu.

Dalam kejadian 2.15 pagi itu, PPM Kampung Acheh bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah bot tanpa nombor pendaftaran itu berjaya menemukan 54 lelaki dan tujuh wanita.

"Polis turut menahan lelaki berusia 37 tahun yang bertindak sebagai tekong dan dua pembantunya berusia 45 dan 40 tahun. Kesemuanya berasal dari negara jiran.

"Mereka didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah kemudiannya dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM untuk soal siasat dan tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kesemua PATI telah dikenakan bayaran sehingga RM800 sehingga RM4,000 kepada sebuah ejen di negara jiran bagi menyusup masuk ke negara ini.
Kesemua PATI telah dikenakan bayaran sehingga RM800 sehingga RM4,000 kepada sebuah ejen di negara jiran bagi menyusup masuk ke negara ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati bot berkenaan dalam perjalanan menuju ke Pulau Angsa dan Sekinchan, Selangor.

"Kesemua PATI telah dikenakan bayaran berjumlah RM800 hingga RM4,000 kepada sebuah ejen di negara jiran bagi menyusup masuk ke negara ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012," katanya.