Bersatu pertahan enam kerusi Parlimen di Sabah

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan Srikandi Bersatu Sabah di Alamesra, Kota Kinabalu.
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan Srikandi Bersatu Sabah di Alamesra, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Bersatu Sabah akan mempertahan enam kerusi Parlimen yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, enam kerusi itu wajar dipertahankan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Srikandi Bersatu Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan sewajarnya mempertahankan kerusi dimenangi.

"Enam kerusi Parlimen itu ialah Kudat, Ranau, Beaufort, Sipitang, Beluran dan Libaran yang dimenangi pada PRU14 lalu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Srikandi Bersatu Sabah di Alamesra, pada Selasa.

Enam kerusi Parlimen terbabit diwakili olehnya sendiri sebagai Ahli Parlimen Beaufort; Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat); Yamani Hafez Musa (Sipitang); Datuk Jonathan Yassin (Ranau); Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Edris (Libaran).

Sementara itu, bercakap mengenai persediaan PRU15, Azizah menggesa seluruh jentera Srikandi Bersatu Sabah bersiap sedia menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.

"Ini berdasarkan kepada senario politik semasa yang ada kemungkinan berlakunya pilihan raya pada bila-bila masa sahaja.

"Srikandi Bersatu akan terus memperkasakan program-program mendekati rakyat selain melakukan proses tambah nilai untuk memperkasakan jentera parti menghadapi PRU15,” katanya.

Sehubungan itu, Azizah menyarankan kepimpinan Srikandi termasuk di peringkat bahagian dan cawangan supaya mengukuhkan semangat solidariti dan jati diri kental dalam memantapkan parti untuk menghadapi PRU15.

"Kenal pasti pengundi muda di setiap kawasan Parlimen masing-masing, kita perlu lebih peka dengan isu golongan muda yang bakal keluar mengundi pada PRU15 ini.

“KIta perlu mendekati dan lebih kerap turun padang menemui golongan tersebut bagi membolehkan mereka memahami kehendak dan keperluan generasi berkenaan. Usaha itu perlu dilakukan secara berterusan bukannya secara bermusim terutama ketika menjelang pilihan raya," katanya.

Tambah Azizah, pengundi muda yang berumur 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik perlu didekati bagi menyelami masalah dan isu membelenggu golongan berkenaan.

"Kita mesti merancang pelbagai strategi untuk memikat hati pengundi-pengundi muda ini. Saya berharap Srikandi Muda Sabah mengambil peranan dan merancang program ke arah menarik minat anak muda, " katanya.