Kanak-kanak tiga tahun cetus kemalangan jalan raya

Siasatan awal semasa kejadian mendapati kanak-kanak berkenaan merentap tangan dan terlepas dari pegangan seorang lelaki dewasa tersebut, kemudian berlari melintasi laluan sehingga menyebabkan kemalangan.
Siasatan awal semasa kejadian mendapati kanak-kanak berkenaan merentap tangan dan terlepas dari pegangan seorang lelaki dewasa tersebut, kemudian berlari melintasi laluan sehingga menyebabkan kemalangan.
A
A
A

BACHOK - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun menjadi pencetus kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Wakaf Aik, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu kanak-kanak berkenaan dipercayai sedang berjalan berpimpin tangan dengan seorang lelaki dewasa di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan awal semasa kejadian mendapati kanak-kanak berkenaan merentap tangan dan terlepas dari genggaman lelaki dewasa tersebut.

"Kanak-kanak itu kemudian berlari melintasi laluan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

"Susulan itu, seorang pemandu teksi lapangan terbang yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora yang dalam perjalanan dari arah Besut, Terengganu menghala ke Pengkalan Chepa terpaksa mengelak ke kanan sebaik sahaja melihat kanak-kanak tersebut melintas jalan," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Beliau berkata, disebabkan itu berlaku pertembungan antara MPV dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan namun pada masa sama kanak-kanak tersebut dipercayai merempuh sisi kanan hadapan Proton Exora itu.

Mohamad Ismail berkata, kanak-kanak itu patah tulang selangka sebelah kanan serta luka-luka pada bahagian badan dan menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Katanya, kedua-dua pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes diklasifikasikan bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.