Penang FC bukan saingan mudah: Devan

Pemain Negeri Sembilan Herorld Goulon (tiga dari kiri) menanduk bola ke gawang Penang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi. Foto Bernama
Pemain Negeri Sembilan Herorld Goulon (tiga dari kiri) menanduk bola ke gawang Penang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi. Foto Bernama
A
A
A

KEMENANGAN tipis skuad Negeri Sembilan (NSFC) ke atas Penang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi bukan sesuatu yang mudah, kata ketua jurulatih, K Devan.

Beliau berkata, Penang FC mempamerkan saingan sengit meskipun beraksi tanpa pemain utama dengan memberikan tekanan kepada tuan rumah sepanjang perlawanan berlangsung.

"Saya tidak sangka Penang FC bermain seperti ini walaupun mereka turun dengan ketiadaan beberapa pemain import, pujian harus diberi kepada Penang FC.

"Kita bermula dengan baik dan mencipta banyak peluang ketika babak pertama perlawanan. Boleh dikatakan kita berhak menang malam ini tetapi tiada penyudah begitu baik," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu di sini malam tadi.

Devan berkata, Penang FC menyukarkan pasukan tuan rumah untuk meraih kemenangan mudah 3-2 dan beliau tetap berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan pasukannya sehingga tamat perlawanan.

Dalam pada itu, beliau mahu pasukan meneruskan rentak kemenangan bagi mengekalkan NSFC berada dalam kelompok kedudukan tertinggi liga.

"Walaupun kita ada baki tujuh perlawanan lagi, fokus pemain amat penting untuk memastikan pasukan kekal dalam kelompok pasukan terbaik musim ini," katanya.

Beliau menyifatkan pasukan seperti Selangor FC, Terengganu FC dan Kedah FC antara pesaing yang boleh mencabar kedudukan skuadnya itu.

Sementara itu, Pengendali Penang FC, Zainal Abidin Hassan melahirkan rasa kecewa selepas gagal mengutip tiga mata penuh di laman lawan namun tetap memuji kesungguhan pemain mencari peluang menyamakan kedudukan. - Bernama