PRU15: UMNO Sabah minta lima senarai calon setiap bahagian

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika mempengerusikan mesyuarat khas badan perhubungan UMNO Sabah di bangunan UMNO, Kota Kinabalu.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika mempengerusikan mesyuarat khas badan perhubungan UMNO Sabah di bangunan UMNO, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - UMNO di setiap bahagian di Sabah diminta mengemukan lima senarai calon untuk diketengahkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, senarai itu perlu dikemukakan segera kepada badan perhubungan UMNO negeri itu untuk penilaian awal bagi menghadapi PRU15.

"Senarai itu perlu dikemukakan segera, sama ada individu dicadangkan mempunyai kedudukan dalam bahagian atau sebaliknya yang penting calon diketengahkan adalah berwibawa, memenuhi kriteria dan boleh diterima oleh rakyat.

"Matlamat pada PRU15 ini adalah memenangi setiap kerusi ditandingi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas badan perhubungan UMNO Sabah di bangunan UMNO, pada malam Selasa.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, setiap senarai dikemukakan akan dinilai oleh satu jawatankuasa khas berdasarkan kepada maklum balas rakyat akar umbi hasil dari pemantauan satu pasukan khas parti selain laporan daripada agensi berkaitan yang turut dinilai untuk menentukan calon benar-benar layak.

"Dalam menentukan calon pada PRU15 kali ini, konsep WALI iaitu winnable (boleh menang), acceptable (boleh diterima) dan likeable (disenangi) akan menjadi garis panduan untuk meletakkan calon terbaik mewakili parti.

"Personaliti calon merupakan elemen utama dilihat oleh rakyat dan ia harus menjadi kriteria utama untuk UMNO dan BN, kebolehmenangan harus jadi keutamaan walaupun orang itu bukan penjawat utama di peringkat bahagian tetapi mempunyai daya kebolehmenangan tinggi juga akan menjadi kriteria pemilihan akhir seorang calon.

“Orang boleh terima tetapi tidak tentu orang suka jadi mesti mempunyai ketiga-tiga elemen ini untuk menjadi seorang calon, " katanya.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan berharap semua bahagian dan cawangan UMNO di Sabah memgemaskini daftar pemilih termasuk mengenal pasti pengundi baharu khususnya golongan muda.

"Pastikan daftar pemilih dan bilik gerakan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di setiap bahagian dan cawangan dikemas kini dan mereka perlu mengadakan 'Simulasi Dry Run' bagi mengenal pasti kekuatan parti," katanya.

Tambah beliau, jentera BN dan UMNO perlu memastikan agar hati dan pemikiran pengundi di kawasan tumpuan itu dapat dimenangi supaya kerusi di kawasan tumpuan memenangi majoriti diperlukan.

"Saya merasakan bahawa seteru politik telah melipatgandakan kerja-kerja mereka dan saya yakin kalau usaha-usaha (jentera BN dan UMNO) melebihi daripada seteru politik kita, maka kawasan-kawasan tumpuan akan kita peroleh semula kemenangan,” katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar mengingatkan setiap cawangan UMNO di semua bahagian perlu diberikan sokongan untuk mengadakan aktiviti parti agar jalinan kerjasama antara pemimpin dan ahli parti dapat diwujudkan bagi memperkukuhkan kekuatan parti menghadapi PRU15.