BN bertanggungjawab penuhi aspirasi rakyat: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab bagi memenuhi aspirasi rakyat mengembalikan kemakmuran dan kestabilan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, sebahagian besar rakyat amat merindui pentadbiran dominan kerajaan BN pada masa kini kerana gabungan itu adalah harapan sebenar mereka.

"Kegagalan negara bagi tempoh 22 bulan dan 17 bulan telah memberi iktibar paling berharga buat mereka.

"Bahawa pengharapan sesuatu yang amat besar ertinya dan tidak boleh sewenang-wenang dieksperimen apatah diperjudi.

"Pengharapan perlu berpaksi kepada rasional, logik, berfakta dan seboleh-bolehnya pernah dilihat," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Beliau yang juga merupakan Presiden UMNO menambah, perkara terbabit antara faktor sebahagian besar mereka yang terpedaya sebelum ini telah kembali kepada BN.

Jelas Ahmad Zahid, mereka mengembalikan penghargaan kepada BN untuk memulihkan apa yang hilang suatu ketika dulu.

"Kemenangan BN dalam banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka menzahirkannya.

"Barangkali mereka sedang mengalami perasaan itu iaitu sesuatu baru terasa berharga apabila sudah kehilangannya," ujarnya.