Muhyiddin gesa tubuh Suruhanjaya Bebas Diraja siasat LCS

Muhyiddin. - Foto Bernama
Muhyiddin. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kabinet supaya mewujudkan sebuah Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Ujar beliau, meskipun pemerintahan Barisan Nasional (BN) telah berakhir pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, namun negara masih lagi dihantui oleh peninggalan kebobrokan pemerintahan parti tersebut termasuk skandal projek LCS yang melibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM9 bilion.

Selain itu, katanya, penyelewengan tersebut merencatkan keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam mengawal perairan negara disebabkan syarikat yang dianugerah kontrak pembinaan kapal LCS itu gagal menyiapkan projek berkenaan.

“Pendedahan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu amat mengejutkan kita.

“Bantahan ini walau bagaimanapun tidak diendahkan oleh Menteri Pertahanan. Untuk rekod Menteri Pertahanan pada ketika itu ialah Presiden UMNO dan Pengerusi BN pada masa ini.

“Inilah pemimpin BN yang akan mengetuai parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Selasa.

Pada Khamis, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh dilaporkan berkata, kajian daya maju (due deligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengenai pembinaan LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

Kah Woh berkata, hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Dalam pada itu, menurut Muhyiddin, PN menentang keras amalan kotor ini dan tidak akan membiarkan kumpulan kleptokrat kembali memperjudikan nasib rakyat demi kepentingan peribadi.

Ulasnya, lebih malang sekiranya amalan rasuah dan penyelewengan yang menjadi barah dalam sebuah pemerintahan kleptokrasi berulang kembali di negara ini.

“Parti-parti politik yang hanya mengutamakan kepentingan segelintir individu dan puak tidak akan dapat meletakkan kepentingan rakyat di hadapan segalanya.

“Mereka juga tidak akan berjaya mewujudkan kestabilan politik selagi mana kepentingan individu dan puak tidak dapat penuhi.

“Malah individu dan puak inilah yang akan terus mengancam kestabilan politik negara selagi mana kepentingan peribadi mereka tidak dapat dipenuhi,” menurutnya.