Pembangkang gesa projek LCS fasa enam dihentikan

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pembangkang menggesa agar kerajaan menghentikan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) fasa enam, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menelan belanja RM571 juta.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek LCS fasa enam yang belum dimulakan itu perlu dihentikan dan kerajaan perlu menyelesaikan skandal LCS yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Negara ini tidak boleh terus dengan skandal. Ambil sahaja projek besar ada skandal. Ini apa punya negara?

“Yang 'mentekedarah' duit rakyat terus menerus begini dan menteri-menteri bagi jawapan dalam siasatan. Berapa lama dalam siasatan?

“Mana boleh negara yang terhimpit dengan tekanan ekonomi mengizinkan ini berlaku,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.

PAC antara rumusannya melaporkan kajian daya maju (due deligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengenai pembinaan kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendahaam Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuatkuasa ketika itu.

Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Port Dickson turut menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyegerakan siasatan terhadap skandal LCS.

“Jangan lengahkan kemudian kita sama-sama lupa. Sebab itu hal ini mesti dihidupkan kerana ada dua implikasinya.

“Kos yang terlalu tertinggi dan hasilnya belum ke mana.

“Belum nampak hasil LCS yang dianggap setara dengan tuntutan awal sebab itu saya gesa kerajaan untuk fasa berikutnya mesti dihentikan,” tegasnya.