Sultan Johor cemar duli rai Mohamad Aniq

Sultan Ibrahim mencemar duli rai Mohamad Aniq yang menenangi pingat emas di Sukan Komenwal Birmingham 2022. - Foto Royal Press Office
Sultan Ibrahim mencemar duli rai Mohamad Aniq yang menenangi pingat emas di Sukan Komenwal Birmingham 2022. - Foto Royal Press Office
A
A
A

SEGAMAT - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli ke Kampung Paya Merah di sini, pada Selasa bagi meraikan atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan yang berjaya meraih emas pertama negara pada Sukan Komenwal Birmingham 2022.

Menerusi muat naik di laman Facebook rasmi, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan baginda diiringi Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Badang negara itu turut menerima sumbangan peribadi daripada Sultan Ibrahim.

Mohamad Aniq 20 berkata, sumbangan peribadi yang dikurniakan Sultan Ibrahim amat dihargai.

"Saya amat gembira kerana ini merupakan pertama kali saya bertemu dengan Sultan Ibrahim. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih diatas kurniaan sumbangan peribadi daripada baginda.

"Baginda juga mengucapkan selamat maju jaya kepada saya untuk temasya sukan akan datang termasuk persiapan untuk menyertai Kejohanan Dunia 2022 di Columbia pada Disember ini,” katanya.

Mohamad Aniq turut tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama Sultan Ibrahim dengan pingat emas yang dimenanginya.

Sebelum itu, Sultan Ibrahim berangkat ke majlis ramah mesra bersama penduduk Labis dan turut menikmati santapan minum petang di Warung Mee Kicap, Kampung Paya Merah.

Sebelum berangkat pulang ke Johor Bahru, Sultan Ibrahim turut berkenan merasmikan Rumah Kraf Labis.

Mohamad Aniq yang berasal dari Segamat, berjaya meraih pingat emas bagi kategori 55 kilogram lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan 249 kilogram pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.