'Banyak parti mahu sertai BN, kenapa ya? - Asyraf Wajdi

Tangkap layar kenyataan di Facebook Asyraf Wajdi pada Khamis.
Tangkap layar kenyataan di Facebook Asyraf Wajdi pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - "Kenapa agaknya banyak parti mahu menyertai atau kembali semula sebagai komponen Barisan Nasional (BN)," soal Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau mendedahkan bahawa ketika ini sekurang-kurangnya tujuh parti sudah mengemukakan permohonan untuk menyertai UMNO dan BN.

"Fenomena ini bukan setakat parti PBM tetapi sekurang-kurangnya tujuh parti sudah kemukakan permohonan untuk menyertai BN," katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kenyataan Presiden Penaja Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin mengenai permohonan parti itu yang ingin menyertai BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Media pada Rabu melaporkan PBM menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BN bagi menyertai gabungan itu dalam menghadapi PRU15, tiga minggu lalu.

Zuraida bagaimanapun berkata, setakat ini BN masih belum menjawab permohonan tersebut.

Berkongsi nada sama, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, semasa awal–awal selepas kekalahan BN pada PRU14, banyak parti bertindak menjauhkan diri dan menghina parti politik terbesar itu.

“Tak kurang yang hina kita sebagai parti perompak pencuri. Tapi hari ini ramai pula yang nak 'mengendeng' dekat kita. Kenapa ya?” soalnya menerusi kenyataan di Facebooknya, hari ini.

“Adakah kita patut terima mereka? Apa pandangan anda?” soalnya.