'Gelombang Omicron BA.5 rendah tapi berpanjangan'

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Gelombang subvarian Covid-19, Omicron BA.5 yang melanda Malaysia adalah rendah namun bersifat berpanjangan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, walaupun kira-kira 2,000 hingga 5,000 kes dilaporkan sehari, ia bertahan agak lama namun tidak naik mendadak.

"Gelombang Omicron BA.5 ini besar di sesetengah negara termasuk di Singapura namun di Malaysia, gelombang kecil tetapi lama.

"Kes naik sedikit dan kekal pada paras baharu.

"Ini merupakan 'low long wave'," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Institut Kesihatan Malaysia (NIH) di Setia Alam, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Khairy turut merayu kepada rakyat Malaysia untuk melaporkan keputusan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi aplikasi MySejahtera.

Ujarnya, jumlah kes dilaporkan adalah kurang daripada jumlah sebenar kerana ada yang tidak melaporkan keputusan ujian kendiri Covid-19 dalam aplikasi tersebut.

"Kita tidak tengok kepada jumlah kes, (tapi) kita tengok kepada keseriusan kes. Bila buat keputusan untuk beralih ke endemik, kita perlu lihat kepada tahap keterukan kes itu, (jumlah) kematian dan kemasukan ke hospital terutamanya wad unit rawatan rapi (ICU).

"Orang ramai diminta supaya laporkan keputusan ujian. Sekarang ini, jika dijangkiti Covid-19, mesti lapor (kepada MySejahtera) supaya dapat Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan kuarantin diri.

"Kita nak tengok kes yang ada dalam komuniti dan ia hanya dapat ketahui apabila rakyat melaporkan keputusan ujian kendiri mereka," katanya.