Espargaro alami retak tumit

Espargaro (tengah) dipapah pasukan perubatan setelah terbabas.
Espargaro (tengah) dipapah pasukan perubatan setelah terbabas.
A
A
A

PELUMBA Aprillia, Aleix Espargaro disahkan mengalami retak tumit (heel fracture) setelah terlibat dalam nahas pada saingan Grand Prix Motosikal (MotoGP) British di Litar Silverstone pada Ahad lalu.

Perkara itu diumumkan menerusi satu kenyataan oleh pihak Aprillia pada Selasa dengan mengatakan Espargaro kini sedang menjalani rawatan berhubung kecederaan berkenaan.

“Berdasarkan kepada ujian perubatan, kami di Aprillia mengesahkan Espargaro kini mengalami kecederaan retak tumit dan kini menjalani rawatan di Hospital Dexeus di Barcelona.

“Kecederaan berkenaan sekali gus menyaksikan kaki kanannya tidak dapat digerakkan dengan sempurna pada ketika ini.

“Bagaimanapun, kecederaan berkenaan didapati tidak serius, namun Espargaro dinasihatkan untuk berehat sekurang-kurangnya selama seminggu sebelum boleh kembali berlumba,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa kecederaan Espargaro tidak memerlukan sebarang pembedahan.

“Buat masa ini, Espargaro perlu menggunakan tongkat untuk bergerak dan diharapkan dalam tempoh seminggu ini dia mampu untuk pulih menjelang perlumbaan di Litar Reb Bull, Austria, 21 Ogos ini,” katanya.

Pada Sabtu, Espargaro terbabas pada sesi latihan bebas di Litar Silverstone hingga mengakibatkannya tidak dapat meneruskan perlumbaan pada sesi kelayakan dan berlumba di GP British kali ini.

Untuk rekod, Espargaro kini berada pada kedudukan kedua dalam senarai pelumba MotoGP di belakang juara dunia musim lalu, Fabio Quartararo dengan merekodkan 158 mata dan lima kedudukan podium setakat ini.