Jualan Keluarga Malaysia bantu penghuni PPR mulai 15 Ogos

Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia bagi membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) mulai 15 Ogos.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, selain selaras dengan keputusan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, melalui program itu golongan sasar dapat menerima manfaat jualan murah barangan keperluan yang bakal diadakan dua kali seminggu.

Selain itu, beliau berkata, kementerian turut melaksanakan Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah sekali seminggu bagi penjualan barangan keperluan asas termasuk ayam dan telur pada harga lebih rendah yang memanfaatkan 147,000 penduduk di 61 PPR dan PA di ibu negara, bermula 14 Julai lalu.

"Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah adalah usaha KWP membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup melalui penjualan ayam dan telur ayam dengan pemberian subsidi.

"Nilai subsidi yang diberikan oleh KWP dalam tempoh sebulan di Kuala Lumpur dan Labuan adalah sebanyak RM581,000. KWP memberikan subsidi sebanyak RM3 bagi pembelian seekor ayam super manakala RM0.50 subsidi bagi 10 biji telur ayam," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin.

Beliau berkata, sehingga 5 Ogos, sejumlah 63,000 penerima manfaat mendapat subsidi ayam segar dan telur ayam di Kuala Lumpur, dengan nilai subsidi dibiayai KWP berjumlah RM221,536.

Shahidan berkata demikian semasa menjawab soalan Senator, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berhubung tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi di bandar raya. - Bernama