Warga emas hilang ditemui maut dalam gaung

Kereta Zahari (gambar kecil) ditemukan di dalam gaung di KM25 Jalan Kota Tinggi-Mersing pagi Selasa.
Kereta Zahari (gambar kecil) ditemukan di dalam gaung di KM25 Jalan Kota Tinggi-Mersing pagi Selasa.
A
A
A

MERSING - Kehilangan seorang warga emas sejak Ahad lalu yang dalam perjalanan dari kediamannya di Kemaman, Terengganu ke Pasir Gudang terjawab, selepas ditemui maut setelah kenderaan yang dipandunya ditemui dalam gaung pada pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing berkata orang awam ternampak kereta mangsa iaitu Perodua Myvi berwarna biru di dalam gaung di kilometer 25, Jalan Kota Tinggi-Mersing telah memaklumkan kejadian itu kepada polis pada jam 9.10 pagi.

"Mangsa Zahari Zakaria, 62, dilaporkan hilang oleh anaknya sehari selepas pergerakan beliau dari Kemaman, Terengganu ke arah Pasir Gudang. Mangsa tidak dapat dihubungi setelah 24 jam dan anak mangsa telah membuat laporan polis.

"Dalam kejadian Ahad lalu mangsa dipercayai telah terbabas ketika melalui jalan jenis selekoh di laluan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya akibat kemalangan itu kenderaan mangsa telah terbalik di tempat kejadian dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pakar perubatan.

Tambahnya kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana cuai memandu dan menyebabkan kemalangan maut.

"Kes masih dalam siasatan polis. Pihak polis menasihatkan pemandu jalan raya lebih peka terhadap pemanduan ketika melalui jalan gelap, cuaca hujan dan berselekoh agar kemalangan dapat dielakkan," katanya.

Sementara itu, anak mangsa, Zul Husni Zahari, 39, ketika dihubungi reda dengan berita pemergian arwah bapanya itu.

Menurutnya, walaupun sedih, keluarga berasa lega setelah jasad ayahnya ditemui.

"Ayah bekerja di Pelabuhan Johor Pasir Gudang sebagai juruukur. Selepas bersara ayah ditawarkan semula bekerja di situ pada tahun lalu.

"Ayah memang biasa berulang-alik dari Kemanan ke rumah sewanya di Pasir Gudang. Ayah pulang ke Pasir Gudang pada jam 10.30 malam pada Ahad. Pada sebelah Subuh ibu cuba hubungi ayah, tetapi tidak dapat.

"Kami cuba hubungi tempat kerja ayah tetapi ayah dimaklumkan tidak berada di situ. Selepas 24 jam ayah tidak dapat dihubungi saya membuat laporan polis," katanya memaklumkan arwah sudah 20 tahun melalui jalan yang sama dari Kemaman ke Pasir Gudang.