Pengarah tak mengaku salah iklan pakej haji furada tanpa lesen

Pengarah syarikat UC Travel Sdn Bhd, Agus Rizal Mat Ali, 50, (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen pada Selasa. - Foto Bernama
Pengarah syarikat UC Travel Sdn Bhd, Agus Rizal Mat Ali, 50, (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat agensi pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas satu pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah daripada Lembaga Tabung Haji (TH), Mei lalu.

Agus Rizal Mat Ali, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang pengarah syarikat itu, telah mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada bagi musim 2022M/1443H di media sosial Facebook milik syarikat itu.

Perbuatan didakwa dilakukan dengan cara mengiklankan bahawa dia boleh menjalankan atau membuat transaksi perniagaan sebagai pengelola perjalanan ke tanah suci bagi menunaikan haji.

Sedangkan syarikat itu tidak mempunyai lesen pengelola jemaah haji secara sah daripada TH.

Kesalahan itu dilakukan di pejabatnya di Platinum Walk, Jalan Langkawi 2, Danau Kota di sini pada 9 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 27(1)(b) Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dihukum bawah Seksyen 27 (2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ishak manakala peguam Datuk Dhanaraj Vasudevan dan Ho Cheng En mewakili tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Hakim Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 September depan untuk sebutan semula kes.

Pada 2 Ogos lalu, media melaporkan sebanyak 132 laporan polis dibuat berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada membabitkan kerugian lebih RM5.6 juta.

Menurut Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, laporan yang diterima setakat 31 Julai lepas melibatkan 336 individu yang menjadi mangsa penipuan tiga syarikat pelancongan swasta.