Sukan Komanwel: Malaysia perbaiki kedudukan keseluruhan

Beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menghadiahkan pingat emas ketujuh Malaysia di Pusat Pameran Nasional, Birmingham pada Isnin. - Foto Bernama
Beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menghadiahkan pingat emas ketujuh Malaysia di Pusat Pameran Nasional, Birmingham pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS 11 hari mengerah keringat dan kudrat, kontinjen negara menamatkan cabaran di Sukan Komanwel 2022 dengan pencapaian membanggakan apabila meraih keseluruhan tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa.

Kejayaan itu sekali gus menyamai pencapaian ketika edisi 2018 di Gold Coast, Australia apabila kem Malaysia membawa pulang tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.

Malah, kejayaan tersebut juga melepasi sasaran enam pingat emas ditetapkan pada temasya edisi Birmingham ini.

Pada hari terakhir temasya hari ini, beregu utama wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah menghadiahkan pingat emas ketujuh Malaysia di Pusat Pameran Nasional (NEC) apabila mudah mengatasi Chloe Birch-Lauren Smith dari England dalam saingan akhir.

Pasangan negara itu yang membuat penampilan sulung pada temasya kali ini mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan wakil tuan rumah 21-5, 21-8.

Hasrat untuk melihat pemain perseorangan lelaki utama negara, Ng Tze Yong menghadirkan kilauan emas tidak kesampaian apabila beliau tumpas kepada pemain nombor satu India, Lakhsya Sen 21-19, 9-21, 16-21.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan emas acara perseorangan lelaki yang dimenangi Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2018.

Di kolam renang, skuad terjun negara menamatkan cabaran pada hari terakhir temasya kali ini dengan meraih satu pingat gangsa dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama campuran.

Pingat itu dijelmakan Nur Dhabitah Sabri dan Muhammad Syafiq Puteh dalam acara yang pertama kali dipertandingkan di Sukan Komanwel sekali gus menyaksikan skuad terjun membawa pulang keseluruhan tiga perak dan satu gangsa.

Pencapaian itu bagaimanapun disifatkan mengecewakan selepas acara terjun disasarkan menyumbangkan satu emas kepada kontinjen negara pada temasya edisi Birmingham ini.

Sementara itu, pasukan skuasy negara boleh menarik nafas lega apabila berjaya membawa pulang satu gangsa kali ini.

Pasangan Rachel Arnold-Aifa Azman menghadiahkan pingat gangsa tunggal pasukan skuasy negara apabila mengetepikan cabaran rakan sepasukan Noor Ainaa Amani Ampandi-Chan Yiwen 2-0 (11-3, 11-9) pada saingan penentuan pingat gangsa hari ini.

Selepas berakhir kesemua acara hari ini sejak temasya berkenaan dibuka secara rasmi pada 28 Julai, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan 10 sekali gus memperbaiki kedudukan di tempat ke-12 pada edisi 2018.

Australia berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan apabila meraih 67 pingat emas, 57 perak dan 54 gangsa diikuti tuan rumah England 57-66-53 manakala Kanada di tempat ketiga dengan 26-32-34. - Bernama